“Saya sudah habis sekolah, ibu. Nanti saya jumpa ibu di rumah,” pesan Alif yang hendak pulang ke rumah selepas kelas tambahan. Dia berjalan bersendirian kerana kawan-kawannya sudah pulang ke rumah. Sambil berjalan di kolong bloknya, dia ternampak dua orang remaja yang sedang menghisap rokok tanpa segan silu. Mata Alif tidak lepas memandang rambut mereka yang diperangkan. Kolong blok memang lengang pada waktu tengahari begitu. Alif membuat keputusan untuk menegur mereka dan cuba menghentikan mereka daripada menghisap rokok tetapi mereka tidak mempedulikannya.
Tiba-tiba, sekumpulan samseng remaja muncul dari belakang. Lengan mereka bercacah. Salah seorang daripada mereka mempunyai parut di pipi. Mereka cuba mengganggu Alif. Mereka mempermainkan dan mentertawakannya. Dia beredar dari situ dengan segera. Secara tidak sengaja, dia terdengar rancangan bahaya mereka.
“Adakah saya akan menjadi mangsa mereka?” bisik hati Alif. Dia bersembunyi di sebalik tembok. Salah seorang daripada mereka ternampak Alif bersembunyi di sebalik tembok itu. Remaja-remaja itu mengejar Alif. Dia berlari dengan cepat untuk menjauhkan diri daripada mereka.
Termengah-mengah Alif dibuatnya. Dia berlari sampai ke lif rumahnya. Dia bernasib baik dapat pulang ke rumah dengan selamat. Ibunya yang sedang berehat di atas sofa sambil menonton televisyen terperanjat apabila ternampak Alif basah kuyup dan kepenatan. Apabila disoal ibunya, Alif menjelaskan bahawa dia dikejar samseng remaja. Ibunya mula berasa bimbang akan keselamatan Alif.
Keesokan harinya, Alif hendak keluar bersama kawan rapatnya. Di luar rumahnya dia ternampak perbuatan laku musnah. Dia tahu bahawa laku musnah itu adalah angkara samseng-samseng itu. Dia memanggil ibunya untuk menunjukkan apa yang terjadi. Dia mengambil gambar dan segera menelefon polis. Alif memberi mereka infomasi tentang samseng-samseng itu.
Pada malam itu, di dalam berita, terdapat laporan tentang samseng itu. Mereka berjaya ditangkap polis dan dibawa ke balai polis. Alif berasa seperti seorang wira! Yang lebih penting lagi, dia berharap samseng-samseng remaja itu berasa serik dan tidak akan mengganggu orang ramai lagi.