Adik,
Biar langit melihat wajahmu,
Biar ia saksikanmu penuhi amanahmu
Kerana kau hamba Tuhan diperkasakan iman.
Kerana kau anak bangsa dimuliakan bahasa.
Maka itu adik,
Hendaklah bicaramu berakhlak
Biar ungkapanmu dihias indah
Moga tintamu tumpahkan emas
Ilmu warisan bangsa.
Tatkala kau adik,
Tatkala kau kesat berbicara,
Tatkala kau ajarkan maki hamun
Tatkala itu juga kau akan saksikan
Langit mencurahkan air matanya untukmu
Arang diconteng di muka bangsamu
Dicemar kesucianmu.
Adik,
Lihatlah unggas mergastua di langit itu
Dan fahamkanlah kau akan ini:
Biar langit batasmu
Dan agama,
Dan bangsa,
Akarmu.
Tidak dapatku wariskan langit padamu
Namun warisanmu bahasa,
Amanahmu dunia, maruah bangsa.