Cerpen Pelajar

Tembok

olehSafiyyah binte Muhammad Saiful 'Adli ( Darjah 6 Sekolah Madrasah Alsagoff Al-Arabiah )
September 2016

Hanya suara cengkerik menjadi temanku pada malam Ramadan pertama itu. Aku bersyukur kerana umurku dipanjangkan lagi untuk beribadah kepadaNya. Aku teringat akan peristiwa yang berlaku atas diriku ketika aku berumur 18 tahun.

Tembok-tembok bilikku dihiasi dengan gambar-gambar selebriti Barat seperti Rihanna dan Beyonce. Mereka adalah idola hidupku. Apabila ibu bapaku hendak bercakap denganku pula, mereka pasti meletakkan nota di tembok bilikku. Kami tidak pernah berkomunikasi secara langsung. Tembok bilikku menjadi saksi atas segala-galanya yang terjadi atas diriku. Segala temujanji bersama kawan-kawan juga akan aku lekatkan pada nota, pada tembok itu. Jadual peperiksaan juga ditampal di tembok itu. Tembok itu menjadi teman komunikasiku. Hidupku bebas pada waktu itu.

Aku sering ke kelab-kelab malam bersama teman-temanku hanya untuk mendapatkan hiburan dan mengurangkan tekanan. Kekasihku yang bernama Adi akan bersamaku. Kami menari dan mabuk dengan minuman arak. Tiba-tiba, gelas kaca yang aku pegang terlepas dari genggaman tanganku. Gelas itu pun jatuh ke lantai lalu pecah berderai. Kami mengangkat gelas yang jatuh itu bersama-sama. Sedang kami asyik memandang antara satu sama lain, tiba-tiba serpihan kaca menusuk ke dalam jari kami. Jari kami berdarah. Pada saat itu, aku tersentuh jari Adi kerana ingin memintanya tisu untuk mengelakkan darah daripada mengalir.

Pada keesokan harinya, aku berasa kurang sihat. Aku demam. Setelah dua minggu, aku mendapati bahawa sakit yang aku alami semakin bertambah teruk dan aku tidak boleh menanggungnya lagi. Aku mengambil keputusan untuk pergi berjumpa dengan doktor.

Setelah doktor memeriksa tubuhku, dia menundukkan kepala sambil berkata, “Saya terpaksa memberitahu perkara yang buruk. Saudari didapati menghidap

penyakit AIDS. Seseorang itu boleh terjangkit penyakit AIDS melalui hubungan dengan seseorang yang mengalami penyakit tersebut termasuk sentuhan darah.”

Aku terdiam dan teringat saat yang aku meminta tisu daripada Adi. Kami telah tersentuh jari. ‘Mungkin ini semua salahnya…’ bisik hatiku.

Aku pulang ke rumah dengan perasaan marah terhadap Adi. Aku melepaskan perasaan marahku pada tembok bilikku. Aku menumbuk tembok. Aku mengatakan bahawa tembok juga sama seperti Adi. Tembok tidak ada gunanya dalam hidupku kerana ia tidak mampu berbuat apa-apa. Segala perkataan-perkataan yang kesat aku luahkan pada tembok.

Setelah lama aku marah, aku menjadi penat. Aku berfikir tentang apa yang baru sahaja aku lakukan. Aku baru sedar bahawa tembok tidak bersalah. Aku baru sedar bahawa tembok amat suci. Oleh kerana aku memandang tembok dengan pandangan yang kotor, maka tembok aku anggap amat tidak berguna.

Akhirnya, ibu bapaku juga telah menghalauku keluar daripada rumah apabila mereka mengetahui tentang perbuatan jijikku. Aku keluar daripada rumah tanpa arah tuju. Aku menyewa sebuah bilik dan hidup di sana bersendirian. Kini, usiaku sudah mencapai 35 tahun. Walaupun aku hidup bersendirian, aku tetap bertemankan tembok. Aku sandarkan nasibku pada tembok lalu aku pun bersiap untuk sahur.

Share icon-linkedin icon-facebook icon-twitter icon-wa

Tembok

Nasibku Si Telefon Bimbit