Cerpen Pelajar

Tembok

olehNurul 'Izzah Binte Zaini ( Darjah 6.2 Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah )
September 2016

“Alahai, Musdhalifah.. Soalan senang begini pun tidak boleh jawab dengan betul? Kesian..,” aku menyindir Musdhalifah dengan nada sarkastik. Aku berlalu pergi dari meja Musdhalifah dengan senyuman sinis. Aku sempat melihat kertas jawapan Matematik milik Musdhalifah. Tertera markah keseluruhan ujian di sebelah kanan kertas jawapan- 16/50. Wajah Musdhalifah sugul dan tidak bermaya.

Aku merupakan anak sulung daripada empat beradik keluarga Pak Mahmud. Keluargaku tidaklah semewah mana. Televisyen di rumahku seperti sebuah kotak kecil yang diletakkan di ruang tamu. Ibuku seorang surirumah manakala ayahku seorang pembersih di sebuah kondominium. Ibu ayahku mengharapkan agar aku berjaya dalam pelajaran dan tidak menghampakan mereka. Aku mengakui bahawa diriku seorang yang sombong memandangkan aku selalu mendapat keputusan terbaik dalam peperiksaan. Adik-adikku semua masih kecil, mereka tidak tahu tentang masalah kewangan yang dihadapi keluarga kami.

Pada suatu hari, ayahku Pak Mahmud pulang dengan wajah yang ceria. Bibirnya terukir senyuman yang lebar. “Pasti ayah ada berita gembira,” getus hatiku. Ternyata, ayah seperti boleh membaca fikiranku lantas berkata, “Kawan ayah hadiahkan sebuah televisyen plasma yang sudah terpakai tetapi keadaannya masih baik. Nanti, ayah akan pasang televisyen pada tembok rumah kita. Barulah keluarga kita setanding dengan orang lain..” Adik-adikku bersorak gembira.

Sejak hari itu, tumpuanku terganggu. Aku cuba sedaya upaya untuk belajar seperti biasa. Malangnya televisyen baru yang terpasang di tembok rumah kami menggamit perhatian. Adik-adikku seronok menonton kartun di televisyen plasma 40 inci itu. Aku terpaksa mengunci pintu bilik dan mengulangkaji pelajaranku sendirian memandangkan peperiksaan percubaan PSLE akan tiba tidak lama lagi. Gelak ketawa mereka telah berjaya ‘merampas’ ketenangan masa belajarku. Niat asal ingin menghambur kemarahan kepada adik-adik, akhirnya aku juga ketawa bersama. Sebelum ini, aku telah mengejek kawan-kawanku yang leka menonton televisyen sehingga tidur lewat malam. Mereka tidak memberikan perhatian di dalam kelas akibat terlalu ngantuk. Kini, aku juga seperti mereka?

Masa berlalu dan aku hanyut dalam kelekaan. Televisyen baru itu terhempas akibat tidak dipasang pada tembok dengan betul. Terhempas juga perasaanku apabila keputusan peperiksaan percubaan PSLEku telah merudum. Aku pulang dari sekolah dengan wajah yang suram. Aku menghenyakkan diri ke atas kerusi di ruang tamu. Aku merenung ke arah empat lubang kecil pada tembok rumah. Sebelum ini, paku-paku kecil telah dipahat ke dalam tembok rumah supaya televisyen tersebut boleh dipasang. Aku berfikir sedalam-dalamnya. Lubang-lubang pada tembok tersebut ibarat empat kesilapanku selama ini iaitu mengejek Musdhalifah, asyik menonton televisyen, angkuh dengan kawan-kawan dan ‘terlopongnya’ tanggungjawabku sebagai seorang anak.

Syukur pada Tuhan, tembok ini telah mengajarku erti kehidupan.

Share icon-linkedin icon-facebook icon-twitter icon-wa

Perangkap

Tembok