Cerpen Pelajar

Suatu Penyesalan

olehShaziyah Hasan (Menengah 4 Ekspres)
January 2016

Karangan Asal: Shaziyah Hasan (Menengah 4 Ekspres)
Diedit oleh: Cikgu Siti Nurhidayah Binte Abdul Aziz

“Tidak! Sudah berkali-kali Ibu larang kau ambil lesen motosikal tetapi kau masih degil dan tidak dengar cakap Ibu!” bentak Ibuku di ruang tamu pada malam itu.

“Mengapa tidak boleh Ibu? Semua kawan-kawan Lina sudah ada lesen motosikal. Mengapa Lina tidak boleh?” tanyaku sekali lagi meminta penjelasan dari Ibuku.

Aku merupakan seorang anak tunggal yang ditatang bagai minyak yang penuh. Oleh sebab itu, Ibu mengawal ketat apa sahaja yang ingin aku lakukan. Aku baru sahaja selesai pengajian di menara gading dan baru mula bekerja. Maryam dan Isha adalah kawan akrabku. Kedua-duanya pun sudah mempunyai lesen motosikal bahkan memiliki motosikal masing-masing. Jiwaku semakin memberontak kerana sudah lima bulan aku memujuk Ibu agar dia membenarkanku mengambil lesen motosikal. Malangnya, rayuanku tidak berhasil kerana dia merasakan menunggang motosikal amat berbahaya. Lagipun, kebimbangannya semakin menjadi-jadi semenjak anak sahabatnya meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya baru- baru ini.

Aku dan Maryam bekerja di pejabat yang sama. Setiap hari, aku menumpang motosikalnya ke pejabat. Selepas waktu kerja, Maryam menanyakan bilakah aku ingin pergi mendapatkan lesen motosikal. Sejujurnya, aku bingit setiap kali diajukan soalan yang sama darinya walaupun dia tahu Ibuku masih berkeras hati dengan keputusannya.

“Dengar cakapku, kau pergi sahaja dapatkan lesen itu tanpa pengetahuan Ibumu,” pujuk Maryam cuba menyakinkanku.

Selepas tiga bulan, aku berjaya mendapatkan lesen motosikal dan akhirnya, aku membeli sebuah motosikal idamanku. Apabila Ibu mengetahui aku memiliki motosikal sendiri, dia menarik nafas panjang dan hanya menggeleng-gelengkan kepalanya. Bahkan, dia tidak menegurku hampir seminggu. Namun, pada suatu hari sebelum aku berangkat ke tempat kerja, dia menasihatiku agar sentiasa berhati-hati apabila menunggang motosikal di jalan raya. Aku hanya mengangguk-anggukkan kepalaku sahaja.

Musim hujan kerap berlaku sejak kebelakangan itu. Pada suatu malam, hujan turun dengan lebatnya ketika aku ingin pulang ke rumah. Aku menunggu seketika dengan harapan hujan akan reda. Namun, hujan tidak putus-putus membanjiri bumi. Lantas, aku memilih untuk menunggang motosikalku dan pulang ke rumah dengan segera. Pakaianku basah kuyup di dalam hujan.

Seingatku dalam perjalanan pulang, kenderaan bergerak dengan perlahan di jalan raya tetapi pada saat itu juga, aku merasakan keadaan di sekeliling telah berubah dalam sekelip mata. Aku mula sedar diriku terlantar kaku di katil hospital. Wad yang berbau ubat dan bayang-bayang jururawat yang sedang merawat pesakit lain masih jelas dalam ingatanku. Aku juga dihampiri oleh seorang wanita yang bertudung hitam. Ibuku tidak mengucapkan sepatah kata. Hanya titisan airmata di pipinya yang gebu menjelaskan betapa remuknya hati seorang ibu.

Nasi sudah menjadi bubur dan sudah setahun kemalangan malam itu menimpa diriku. Kini, aku tidak boleh menunggang motosikal lagi dan yang lebih aku sesalkan adalah aku tidak mampu berjalan sama sekali. Kakiku lumpuh. Segala pergerakanku terbatas pada kerusi roda. Kesesalan yang aku rintihkan ini tidak dapat memutarkan masa yang lalu mahupun mengembalikan kakiku yang sempurna. Andainya aku tahu hidupku akan berakhir seperti ini, sudah tentu aku akan mematuhi pesanan Ibuku. Aku menyesal.

Share icon-linkedin icon-facebook icon-twitter icon-wa

Penyeluk Kocek