Bicara Budaya

Songket-Sulaman Bangsa

olehNurul Haziqah Hassan
September 2016

Secebis Sejarah

Songket merupakan tekstil tradisional yang berasal dari Pulau Sumatra di mana benang emas atau perak ditenun ke dalam benang lungsin. Ianya dipercayai Kain songket dianggap kain yang mewah. Pada zaman dahulu, hanya orang-orang bangsawan sahaja yang dapat mengenakan kain songket. Semakin halus dan rumit corak songket dan semakin berat kainnya, bermakna semakin tinggi darjat atau pangkat si pemakai. Berat kain songket menunjukkan jenis benang yang digunakan. Jika lebih berat, bermakna benang emas asli digunakan.

Oleh sebab songket melambangkan status “mewah”, ia seringkali hanya dipakai ke majlis-majlis penting atau keramaian seperti majlis perkahwinan. Bukan para mempelai sahaja yang lazimnya mengenakan busana songket tetapi para hadirin jugak sering mengenakan kain tradisional ini.

Jenis-jenis Motif dan Warna Songket

Motif-motif atau corak-corak di kain songket selalunya bersifat geometrik dan berunsurkan flora dan fauna. Antaranya ialah motif bunga cengkih, bunga tanjung, bunga melati dan bunga mawar. Bunga-bunga ini juga ada perlambangannya yang tersendiri. Masing-masing melambangkan kesucian, keanggunan, rezeki dan segala kebaikan.

Warna kain songket juga mempunyai makna yang tersendiri. Kain songket yang berwarna hijau, kuning dan merah padam dikatakan lebih sesuai untuk dipakai oleh mereka yang “janda”. Bagi majlis penting seperti perkahwinan pula, pengantin lebih lazim mengenakan kain songket yang lebih cerah warnanya.

Jenis-jenis Songket

Terdapat bermacam-macam jenis songket. Antaranya ialah Songket Lepus, Songket Tawur, Songket Tretes, Songket Bungo Pacik, Songket Limar, Songket Kombinasi.

Songket Lepus mempunyai motif emas yang menutupi seluruh kain.

Songket Tawur pula motifnya bertaburan di seluruh kain. Motifnya tidak menutupi seluruh kain tetapi berkelompok.

Songket Tretes pula motifnya hanya pada hujung-hujung kain – tiada motif di tengah kain.

Songket Bungo Pacik pula ialah jenis kain songket yang tenunan bunganya dibuat daripada benang kapas putih , sehingga benang emasnya tidak kelihatan ketara dan hanya mengisi sebahagian motif selingan.

Songket Limar amat unik berbanding dengan kain songket yang lain. Ini disebabkan oleh cara pembuatannya yang berbeza. Songket ini ditenun dengan corak ikat pakan. Motifnya diperbuat daripada jalinan benang pakan (benang lungsin) yang diikat dan dicelup pewarna pada bahagian-bahagian yang diinginkan sebelum ditenun. Kain Limar ini seringkali digunakan untuk kain sarung kaum lelaki dan wanita. Jika kain sarung wanita, coraknya dikombinasikan dengan corak songket – corak Kain Limar pada bahagian badan kain dan corak songket pada kepala kain.

Songket Kombinasi, sesuai dengan namanya merupakan gabungan jenis-jenis songket. Sebagai contoh, Songket Bungo Intan merupakan gabungan antara Songket Bungo Pacik dan Songket Tretes.

Evolusi Songket

Jika dahulu kain songket dijahit menjadi baju tradisional seperti baju kurung, baju melayu dan baju kebaya, kain songket kini lebih versatil. Kain songket kini dijahit menjadi menjadi baju panjang (dress), blaus dan kain moden (skirt). Oleh kerana tekstur kain songket yang boleh menyebabkan kulit si pemakai terasa gatal, busana songket moden seringkali dijahit dengan kain pelapik atau “lining” di dalamnya yakni kain lebih lembut.

Juga, terdapat cara membuat kain songket yang baru. Kain songket yang ditenun mengambil masa yang lama. Namun, pada era moden sekarang ini, corak songket dapat dicetak sahaja. Walaupun tidak asli seperti kain songket asli, kain songket sebegini tetap mendapat sambutan yang bagus. Mungkin kerana pertama, kos yang lebih murah dan dua, motif songket selalunya dicetak pada jenis-jenis kain yang selesa dipakai seperti kain kapas. Corak-corak yang dicetak juga datang dalam pelbagai warna yang menarik.

Evolusi songket membuat pemakaiannya lebih menarik dan dapat menarik minat para pemudi untuk memakainya. Ini merupakan usaha yang baik untuk memastikan pemakaian songket tidak luput dek dimamah masa.

Share icon-linkedin icon-facebook icon-twitter icon-wa

Teater Melayu: Bangsawan

Batik