Cergas Cerdas

Mekanisme Minda

olehNorazim Bin Azami
September 2016

Otak manusia – ia merupakan salah satu organ yang paling penting dalam tubuh seorang manusia. Ramai daripada kita sering mengambil sambil lewa tentang betapa signifikan ciptaan Yang Maha Esa ini. Pada masa yang sama otak memiliki pelbagai fungsi yang tidak diketahui oleh masyarakat. Otak memainkan peranan penting bagi memastikan segala proses dalam tubuh manusia berjalan dengan lancar. Otak merupakan tempat saraf pusat bernaung dan semua saraf yang ada di tubuh manusia akan berpusat di otak. Otak memiliki kandungan sebanyak 1.350 cc dan di dalamnya pula terdapat 100 juta sel atau yang kebiasaannya dikenali sebagai neuron.

Secara garis besar, otak bertanggungjawab mengatur gerakan manusia, mengatur perilaku dan juga fungsi tubuh manusia. Malah, ia turut mengatur tekanan darah di dalam tubuh seseorang dan masih banyak lagi.

Sebagai pelajar, kita sudah tentunya perlu melibatkan penggunaan otak dalam rutin harian kita, apatah lagi dalam usaha untuk mengulang kaji konsep-konsep dan topik-topik yang dipelajari di sekolah. Oleh itu, penting bagi kita untuk memahami otak dengan lebih mendalam agar kita dapat menggunakan organ ini pada tahap yang optimum.

Otak manusia boleh dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu:

  1. Batang Otak
  2. Sistem Limbik
  3. Neokorteks

1.BATANG OTAK

Terletak di bawah tengkorak, batang otak lebih dikenali dengan sebutan “brainstem”. Bahagian ini berfungsi untuk mengawal pernafasan, denyutan jantung mahupun reaksi seseorang dalam keadaan bahaya. Batang otak akan bertindak untuk memberi respons kepada perkara yang mampu mengancam keselamatan diri atau luar daripada perkara biasa. Sebagai contoh, bayangkan ketika kamu sedang berjalan dan tiba-tiba seseorang hendak memukul kamu. Sudah tentunya dengan pantas badan kamu akan bertindak dalam bentuk refleks untuk menghindari ancaman itu dan kemudiannya memukul balik sebagai langkah mempertahankan diri. Inilah salah satu contoh untuk menunjukkan peranan penting yang dimainkan oleh batang otak dalam menjaga seorang individu. Orang yang lebih cenderung untuk menggunakan batang otak tanpa keseimbangan malangnya boleh menjadi liar dan kasar dalam tingkah laku. Mereka akan bertindak tanpa mempertimbangkan kesan-kesan aksi mereka dengan kematangan.

2. SISTEM LIMBIK

Sistem limbik pula terletak di bahagian otak tengah dan sering dikenali sebagaiu “otak mamalia”. Sistem limbik ini diperbuat daripada hipotalimus, hipokampus dan amigdala. Ia memegang banyak peranan mustahak dalam tubuh seseorang seperti mengendalikan emosi individu, mempertahankan keseimbangan hormonal, dorongan seksual, metabolisme, bahagian ingatan jangka panjang dan banyak lagi.

Sistem limbik turut amat mustahak dalam melancarkan informasi ke dalam sistem memori manusia. Sistem memori ini secara tidak langsung akan mengawa kemampuan “emosi” otak kita. Dalam sistem limbik, terdapat komponen hipotalamus, yang boleh dianggap sebagai elemen yang paling penting dalam otak manusia. Hipotalamus ini merupakan inti dari kekuatan emosi dan ia mengawal banyak aspek dalam tubuh seseorang seperti kandungan hormon, hasrat seksual, emosi, keseimbangan kimiawi dan banyak lagi. Ia juga merupakan tempat yang menimbulkan perasaan jujur dan cinta. Oleh sebab itu ada yang menyebut bahagian ini sebagai “alam bawah sedar” yang diwujudkan dalam tingkah laku yang baik.

3.NEOKORTEKS

Neokorteks ini terletak di dalam bahagian otak yang paling luar sekali. Ia merupakan mekanisme yang mengendalikan segala hal yang berkaitan dengan aspek rasional. Bahagian ini turut berfungsi sebagai pusat kecerdasan yang hanya unik kepada golongan manusia dan tidak dimiliki oleh makhluk lain. Neocorteks ini membenarkan manusia untuk mengawal nafsu dan emosi dengan lebih mudah, sekaligus menjadikan manusia berfikir mahupun bertindak dengan lebih rasional dan hati-hati. Dalam situasi di mana neocorteks kita menjadi lebih dominan daripada otak emoksi, ciri ini akan menghasilkan fikiran yang lebih kreatif dan gagasan yang cemerlang. Selain itu, bahagian ini bertanggungjawab untuk menumbuhkan motivasi serta semangat untuk individu itu untuk senantiasa berjuang dalam mencapai matlamat masing-masing.

Daripada keterangan ini, sudah terjelas sekali betepa kompleks dan pentingnya organ ini kepada manusia meskipun ia amat kecil sekali. Oleh itu, ia sudah menjadi kewajipan kita untuk menjaga organ ini dengan baik dalam apa-apa cara yang sihat dan halal.

Lantaran itu, setiap individu perlu sentiasa mengamalkan budaya harian yang mampu menjamin kecerdasan dan kebolehan otak kita untuk berfungsi pada tahap optimum. Cara yang paling mudah dan penting merupakan waktu tidur. Tidur adalah cara semula jadi yang amat berkesan dalam aspek ini. Jika ia dibuat pada jangka masa yang cukup dan berkualiti, cara ini mampu meningkatkan kecerdasan mental, daya ingatan mahupun kebolehan penyelesaian masalah. Dalam sudut konteks para pelajar, budaya sebegini akan mempengaruhi kebolehan mempelajari dan mengingati sesuatu perkara itu dengan positif. Malangnya, kekurangan waktu tidur boleh menjejas tahap IQ, ingatan mahupun kemampuan bernalar untuk menjadi teruk. Justeru, kita perlu mencari keseimbangan antara kerja dan waktu tidur. Tidak gunanya jika kita bekerja sehari suntuk kerana mahu mencapai prestasi yang baik dalam pelajaran mahupun kerja kita. Walhal, sebenarnya otak kita sudah letih dan kita tidak mampu menghasilkan produk atau kerja yang cemerlang.

Tidur bukan sahaja cara yang boleh kita gunakan untuk menjamin kecergasan badan dan kecerdasan otak. Malah, pelbagai cara unik yang dapat kita pelajari:

  1. Menjalinkan hubungan mesra bersama keluarga
    Keluarga adalah orang-orang yang paling rapat dengan kita, yang telah melihat kita membesar mahupun mengenali perwatakan kita yang sebenar. Mereka jugalah merupakan golongan yang kita, terutama sekali pihak pelajar akan berjumpa setiap hari di rumah. Lantaran itu, ia amat wajar bagi kita untuk menjalinkan hubungan yang mesra dan penuh dengan kasih sayang antara ahli keluarga. Ini dapat dilakukan dengan cara seperti makan malam bersama-sama keluarga. Meskipun ia kelihatan seperti akitiviti harian yang biasa, budaya sebegini dapat menggalakkan kita untuk berkongsi pendapat dan masalah seperti cabaran yang dihadapi dalam kelas kepada ahli keluarga yang lain. Siapa tahu, mungkin mereka mampu memberi bantuan tangan dan nasihat-nasihat bernas yang boleh membantu kita? Otak manusia juga akan berfungsi dengan lebih baik jika kita dapat mengurangkan tekanan dan kegelisahan di kelopak hati dan mengamalkan pemikiran yang positif.
  2. Bebaskan diri daripada peranti (gadget)
    Janganlah terlalu taksub dalam alam peranti. Dalam era moden ini, kita sudah tentunya tidak dapat lari daripada menggunakan peralatan elektronik kerana ia membantu kita dalam aktiviti harian. Namun, kita perlu mengimbangi masa agar kita tidak hilang dalam dunia peranti sehingga ia mengancam kesihatan otak kita. Penggunaan alat-alat ini buat jangka masa yang terlalu panjang juga boleh mengancam kesihatan otak kita. Jikalau mahu mencari hiburan, cubalah cara lain seperti meluangkan masa lapang bersama keluarga, ataupun keluar untuk melihat kehijauan di taman-taman yang berdekatan. Ikutlah citarasa sendiri. Langkah seperti ini mampu memberi ketenangan kepada otak dan jiwa.
  3. Mengamalkan gaya hidup yang sihat
    Dalam memastikan kesihatan tubuh badan dari pelbagai sudut terutamanya otak, Kita bukan sahaja perlu tidur yang cukup tetapi kita juga perlu mengamalkan gaya hidup yang sihat seperti makan makanan yang berkhasiat mengikut piramid makanan. Kita juga perlu rajin bersukan untuk memastikan tubuh badan kekal cergas dan dihindari daripada pelbagai penyakit merbahaya yang banyak menyerang sejak sejak ini. Apabila sedang bersenam, kita turut akan mengurangkan stres dan kadar oksigen yang masuk ke badan akan meningkatkan, sekaligus mencergaskan otak. Otak yang mempunyai kurang tekanan serta menerima kandungan oksigen yang banyak mampu berfungsi dengan baik, sekaligus membantu manusia untuk bekerja dengan berkesan.

Otak manusia adalah satu anugerah daripada Tuhan. Jangan sesekali mensia-siakan nikmat yang kita ada ini. Sebagai pelajar, gunakanlah “senjata” ini dengan sebaik-baiknya agar kita dapat belajar dengan lebih berkesan dan mencapai keputusan yang cemerlang bagi peperiksaan. Bekerja dan dedikasi amat mustahak. Namun, jangan terlalu mahu mengerjakan kerja sehingga badan binasa. Kita perlu sentiasa pandai mengimbangi masa antara kerja dan rehat. Ingat, pendidikan ialah kunci kepada kejayaan, terutama sekali di Singapura. Biar susah sekarang, tapi senang pada masa hadapan!

Share icon-linkedin icon-facebook icon-twitter icon-wa

Makanan Minda

Beriadah dalam Bentangan Alam