Selain daripada usaha gigih dan konsisten, dan tidur yang mencukupi, cara pemakanan juga merupakan faktor penyumbang yang penting kepada kejayaan akademik seorang pelajar. Terdapat beberapa makanan yang dapat membantu dalam pembangunan minda dan otak. Dalam isu Kembara Nusa kali ini, kita akan mengenali beberapa jenis makanan yang bukan sahaja lazat, tetapi juga bermanfaat untuk pembangunan minda dan otak yang cerdas.
Beri Biru
Kecil-kecil beri biru! Beri biru atau sering dikenali sebagai blueberries, walaupun kecil, penuh dengan manfaat. Beri ini kaya dengan anti-oksidan, vitamin C, K dan serat. Selain itu, beri biru juga tinggi kandungannya dengan asid galik yang melindungi otak kita daripada proses degenerasi dan tekanan. Penyelidikan oleh mahasiswa di Universiti Tufts di Amerika Syarikat mendapati bahawa beri biru dapat menyembuhkan atau melambatkan kehilangan ingatan jangka masa pendek atau short-term memory loss.
Beri biru boleh dimakan secara beku, segar atau kering. Rasanya yang masam-manis menjadikannya sesuai sebagai cemil-cemilan sehari-hari. Selain itu, beri biru juga boleh dikisar bersama dadih masam, susu, air batu dan buah-buahan lain untuk smoothie yang enak lagi menyegarkan.
Ikan Salmon
Ikan salmon merupakan sejenis ikan berminyak. Ikan salmon kaya dengan asid lemak omega-3 yang dapat membantu mencerdaskan otak dan meningkatkan daya ingatan. Bagi kanak-kanak kecil, memakan ikan salmon dapat menghindari penyakit Gangguan Defisit Perhatian dan Hiperaktif (ADHD). Asid lemak omega-3 juga dapat menghindari penyakit barah dan membunuh tumor.
Ikan salmon boleh dimasak dengan pelbagai cara seperti digoreng, direbus, disalai mahupun secara mentah. Cara paling mudah untuk menyediakan ikan salmon adalah dengan menggaulkan sepotong ikan salmon dengan minyak zaitun, garam dan lada hitam. Kemudian, gorengkan ikan salmon itu di atas kuali panas dengan memastikan bahagian kulit digoreng dahulu sehingga garing. Kemudian, terbalikkan ikan dan goreng hingga masak. Hidangkan bersama sepotong limau dan salada segar.
Kacang Walnut
Fakta menarik: bentuk kacang walnut seakan-akan bentuk otak manusia! Kacang walnut juga kaya dengan asid lemak omega-3. Pengambilannya yang berkurangan memungkinkan kemurungan dan kemerosotan kognitif. Memakan segenggam kacang walnut secara tetap dapat membangkitkan keceriaan seseorang. Tambahan pula, ia dapat menaikkan tahap melatonin dalam badan dan justeru itu dapat memerangi kengantukan dan penyakit insomnia. Ini dapat menjamin waktu belajar yang lebih efektif kerana murid tersebut akan menjadi lebih cergas setelah mendapat rehat yang mencukupi. Kacang walnut merupakan snek alternatif yang lebih sihat jika dibandingkan dengan makanan ringan yang lazim digemari oleh kanak-kanak. la boleh dicampur dengan kekacang yang lain serta buah-buahan kering. Kekacang dan buah-buahan kering mudah didapati dari pasar-pasar raya.
Kurma
Buah kurma kaya dengan serat, potasium, tembaga, mangan, magnesium dan vitamin B6. Buah ini dapat memanfaatkan tubuh dalam banyak aspek. Selain daripada menggalakkan kesihatan sistem pencernaan dan melegakan sembelit, buah kurma juga mampu meningkatkan kesihatan jantung, mempunyai ciri-ciri anti-radang, bole mengurangkan tekanan darah, dan dapat menyumbang kepada kehamilan dan kelahiran. Selain itu, makanan sunnah ini juga mampu meningkatkan kecerdasan otak. Kajian oleh JAMA Internal Medicine mendapati bahawa sukatan vitamin B6 yang mencukupi dapat meningkatkan prestasi oak dan justeru menghasilkan keputusan ujian yang lebih baik.
Buah kurma boleh dimakan secara segar atau lebih lazimnya kering. Buah yang kering enak dimakan begitu sahaja. Namun, bijinya boleh dikeluarkan dan digantikan dengan kacang badam (kacang badam juga kaya dengan asid lemak omega-3) dan kemudian dicelup ke dalam coklat gelap yang telah dicairkan. Biarkan buah kurma tersebut sejuk di dalam peti sejuk supaya coklatnya dapat mengeras. Buah kurma berinti badam dan disaluti coklat hitam sesuai dimakan sebagai penambah tenaga sewaktu belajar atau menelaah pelajaran.
Alpukat
Alpukat, atau lebih dikenali sebagai avocado, mempunyai kadar vitamin K dan folat yang tinggi. Hal ini memungkinkan alpukat untuk mencegah darah beku berlaku di dalam otak dan justeru akan mencegah penyakit angin ahmar dan meningkatkan fungsi kognitif, terutama sekali dari segi daya ingatan dan tumpuan. Buah ini juga kaya dengan vitamin B dan C yang tidak dapat disimpan oleh tubuh kita dan harus digantikan dan ditambah setiap hari. Buah alpukat semakin mendapat sambutan ramai, terutama sekali mereka yang gemar mengamalkan gaya hidup sihat. Kandungan lemak
(yang sihat) yang tinggi di dalam buah alpukat menjadikannya alternatif sihat kepada marjerin atau mentega Alpukat boleh dilenyek dan disapukan ke atas roti bakar. Namun, disebabkan rasanya yang hanya berkrim tetapi agak tawar, alpukat yang dilenyek akan rasa lebih enak jika diperisakan dengan garam dan lada hitam atau empingan cili kering. Lagi satu cara popular untuk menikmati buah ini adalah dengan menjadikannya jus alpukat.
RESEPI JUS ALPUKAT
Bahan-bahan:
- 1 bin buah alpukat ranum
- 1 cawan susu segar
- 3 sudu susu pekat
- kiub air batu secukupnya
- sirap coklat
Cara-cara:
- Buang biji buah alpukat dan asingkan isi daripada kulitnya. Kemudian masukkan ke dalam alat pengisar.
- Masukkan susu segar, susu pekat dan kiub air batu
- Kisar hingga halus
- Hiaskan dalaman gelas dengan sirap coklat
- Tuangkan jus ke dalam gelas dan nikmati!