Makanan Melayu sering dianggap tidak sihat disebabkan bahan-bahan yang digunakan di samping kaedah masakannya. Contohnya, banyak makanan Melayu digoreng dengan menggunakan kadar minyak yang tinggi. Kadar minyak yang tinggi boleh menyebabkan penyakit seperti kegemukan, sakit jantung, dan barah. Walaupun begitu, usah anda risau. Sebenarnya terdapat banyak jenis makanan Melayu yang sihat yang dapat memebekalkan khasiat yang mencukupi. Makanan yang sihat merujuk kepada makanan yang mempunyai kandungan karbohidrat, protin, dan serat(fibre) yang cukup. Mari kita kenali makanan-makanan Melayu yang sihat!
1. Nasi Lemak
Nasi Lemak ialah makanan yang hampir semua telah mencuba, tidak kira bangsa. Nasi lemak ialah nasi yang dimasak bersama santan. Ia selalunya dihidang bersama sambal, ikan, ikan bilis dan kacang goreng. Nasi Lemak sering dianggap kurang sihat kerana menggunakan santan yang mempunyai kadar kolesterol yang tinggi. Namun begitu, santan boleh digantikan dengan bahan yang lebih sihat seperti susu kurang lemak atau susu skim. Jika santan masih ingin digunakan, santan boleh dicampur dengan air atau susu supaya dapat mengurangkan jumlah santan yang digunakan. Dengan ini, nasi lemak menjadi hidangan yang amat berkhasiat kerana mempunyai mangan (manganese), protin dan karbohidrat yang mencukupi. Zat-zat tersebut merupakan sumber tenaga yang utama dan amat penting dalam proses pencernaan.
Saranan: Nasi Lemak lebih baik dimakan pada waktu pagi atau tengahari bagi membekalkan tenaga.
Tahukah anda: Nasi Lemak telah disenaraikan dalam majalah “Times” sebagai antara sepuluh jenis hidangan sarapan yang paling berkhasiat.
2. Mi Soto
Mi Soto juga merupakan hidangan Melayu yang terkenal. Mi Soto merupakan hidangan Melayu yang berkhasiat kerana tidak mengandungi banyak kalori dan kolesterol. Untuk mengurangkan garam dan minyak yang dimakan, elakkan dari menghabiskan kuah Mi Soto. Sayur-sayuran seperti tauge boleh ditambahkan untuk meningkatkan kandungan serat dan kuah boleh dikurangkan untuk menurunkan kandungan garam dan lemak tepu. Mi soto juga lebih baik dimakan pada waktu pagi dan tengahari bagi memberi tenaga yang mencukupi.
Tahukah anda: Makanan-makanan kedai kopi dibahagikan kepada 3 bahagian- makanan Melayu, makanan India dan makanan Cina. Contohnya, mi soto dinyatakan mempunyai 20g protin, 17g lemak, 3.5g serat, 31g karbohidrat, dan 1537mg garam. Jumlah garam boleh dikurangkan sekiranya kuah hidangan ini tidak dihabiskan.
3. Ikan Bakar
Ikan bakar merupakan sebarang jenis ikan yang dimasak di atas api dan tidak menggunakan minyak dalam pemasakannya. Ikan bakar juga dikenali sebagai ikan panggang dan boleh dimasak dengan pelbagai rempah. Ikan bakar merupakan hidangan yang sihat kerana tidak digoreng serta kaya dalam khasiat asid lemak omega-3, protin dan kurang lemak dan kalori. Asid lemak omega-3 dapat meningkatkan fungsi ingatan dan kognitif minda. Oleh itu, sesiapa yang ingin mencerdaskan minda dinasihati untuk memakan ikan.
Saranan: Ikan bakar pula boleh dimakan bersama nasi atau begitu saja. Ia sesuai dimakan pada bila-bila masa saja. Haruslah kita berhati-hati semasa memakan ikan bakar terutama sekali jika jenis ikan yang dimakan banyak tulangnya.
4. Pucuk Ubi Masak Tempoyak
Pucuk ubi masak tempoyak ialah lauk yang sering dimakan bersama nasi. Lauk ini sudah dimakan oleh orang Melayu sejak zaman dahulu lagi. Hal ini kerana tempoyak mudah didapati di sekeliling kampung. Tempoyak ialah isi durian yang diasingkan dari bijinya dan disimpan dalam suhu bilik untuk proses penapaian (fermentasi). Bagi para penggemar durian yang masih belum mencuba tempoyak, hidangan sihat ini merupakan cara yang baik untuk mencubanya. Masakan ini sihat kerana pucuk ubi sungguh berkhasiat. Pucuk ubi mengandungi protin dan rendah dalam kandungan kalori.
Saranan: Lauk pucuk ubi masak tempoyak pula sesuai dimakan bersama nasi pada waktu pagi dan tengahari.
5. Nasi Goreng Bayam
Sudah tentu nasi goreng dikenali semua. Jika selalu makan nasi goreng kampung, mengapa tidak mencuba sesuatu yang baru: nasi goreng bayam? Nasi goreng bayam merupakan alternatif yang lebih berkhasiat kerana bayam mempunyai kandungan zat besi yang tinggi. Zat besi penting untuk memaksimumkan fungsi otot. Ia juga dapat mengelakkan penyakit anaemia. Nasi mempunyai kandungan karbohidrat yang tinggi dan menjadi sumber tenaga pada tubuh.
Saranan: Disebabkan kandungan karbohidrat yang tinggi, nasi goreng lebih baik dimakan pada waktu pagi dan tengahari. Nasi goreng bayam ini menjadi masakan yang sesuai bagi sesiapa yang tidak gemar memakan sayur memandangkan sayur bayam disebatikan dalam hidangan yang sungguh lazat.
Kesimpulannya, terdapat bermacam-macam makanan Melayu yang berzat dan dimasak dengan kaedah yang sihat Tidak sukar untuk mengikuti diet yang lebih sihat, jadi mari sama-sama pelihara tubuh badan kita!