Dengan niat meningkatkan keyakinan pelajar untuk mengarang serta menyediakan ruang untuk menyerlahkan kebolehan dalam penulisan, Pusat Bahasa NUSA telah menganjurkan sekali lagi peraduan Saya Boleh Mengarang tahun ini. Dengan penyertaan yang mencecah lebih daripada 200 pelajar, peraduan ini telah menyaksikan bakat para pelajar dalam penulisan. Namun, jika sejauh ini kita hanya kenali peraduan tersebut, apa kata kita selami minda para penulis muda kita untuk mengenali mereka dengan lebih lanjut? Banyak ilmu dan kata-kata perangsang yang dapat kita tukil daripada wawancara bersama ketiga-tiga pemenang kategori ini.
Naurah Khalisah Bte Nasser (Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah)
Juara Kategori A (Darjah 1 dan 2)
Mengapakah Naurah gemar berkarya?
Saya berasa bahawa berkarya itu seronok. Ia seronok kerana ia memberi saya ruang untuk meluahkan fikiran saya tentang banyak perkara. Itulah perkara yang saya gemar tentang penulisan.
Bagaimanakah Naurah mendapatkan idea untuk mengarang?
Saya gemar membaca buku. Saya membaca banyak buku, tidak kira jenisnya, namun yang paling saya gemar ialah cerita hantu. Daripada membaca, saya dapat mencungkil banyak idea yang berbeza untuk ditulis dalam penulisan saya.
Apakah perkara yang paling mencabar dalam penulisan?
Buat masa ini, saya belum lagi memiliki banyak kosa kata, jadi saya belum boleh meluahkan fikiran saya dengan tepat. Namun begitu, saya akan berusaha untuk meluaskan kosa kata saya sedikit demi sedikit. Saya juga akan terus berlatih untuk menulis dalam jurnal. Buat rakan-rakan semua, saya harap kami akan teruskan menulis, walaupun bertemu dengan cabaran.
Zishan Haq Bin Mohamed Yousoof ( Sekolah Rendah Anglo-Chinese )
Juara Kategori B (Darjah 3 dan 4)
Bagaimanakah Zishan mencari ilham untuk menulis?
Saya cuba membaca banyak buku cerita dan juga mengambil perhatian apabila membaca petikan kefahaman yang menarik supaya saya ada akal apabila menulis karangan. Kadang-kadang saya juga menggunakan pengalaman saya apabila mengarang. Apabila di sekolah, saya akan bertukar idea bersama rakan sedarjah saya.
Apakah perkara yang paling menarik dalam penulisan?
Saya amat suka membayangkan berbagai-bagai senario apabila mengarang. Saya dapat menggunakan daya kreatif saya semasa menulis isi sesebuah karangan. Oleh kerana itu, saya lebih gemar menulis karangan mengikut tajuk yang diberi daripada soalan bergambar.
Saya juga berasa amat berpuas hati apabila saya dapat menyelitkan frasa-frasa menarik semasa mengarang.
Bagi rakan-rakan yang belum gemar membaca buku bahasa Melayu, apakah yang ingin Zishan katakan kepada mereka?
Mula-mula saya juga tidak gemar membaca buku cerita Bahasa Melayu. Saya rasa keberatan untuk membaca buku – buku itu yang dianggap amat sukar. Tetapi demi penguasaan bahasa yang lebih kuat dan kukuh, saya bertekad untuk mengatasi masalah ini.
Kepada mereka yang belum gemar membaca, kita boleh mula dengan membaca buku-buku yang diterjemah dari bahasa Inggeris yang kita minat. Contohnya, saya akan membaca buku kegemaran saya, iaitu Pokemon dalam Bahasa Melayu. Insha Allah ini akan memupuk semangat membaca kita. Sekarang saya juga akan membaca cerita Geronimo Stilton dalam bahasa Melayu. Saya dapat pelajari banyak kosa kata yang baru yang dapat saya gunakan dalam penulisan saya.
Saya yakin kita boleh berjaya menguasai bahasa Melayu jika kita sentiasa cekal dan tekal.
Safiyyah Bte Muhammad Saiful ‘Adli daripada Madrasah Alsagoff
Juara Kategori C (Darjah 5 dan 6)
Dalam menulis karangan bagi setiap peringkat, bagaimanakah Safiyyah mencari ilham bagi proses berkarya?
Pertama sekali, saya rasa kami, sebagai para pelajar harus ada minat untuk menulis dan harus ada rasa cinta buat Bahasa Melayu. Kemudian, nanti idea-idea akan datang dengan sendirinya. Tetapi kita harus menumpukan perhatian dengan sepenuhnya kepada apa yang ingin ditulis. Bagi saya, bagaimana saya mencari ilham itu, saya meletakkan diri saya ataupun orang-orang yang saya kenali dan melambangkan mereka dalam apa yang soalan diberikan. Saya juga menggunakan dan meletakkan pengalaman peribadi saya sendiri ke dalam karya dan cerita saya.
Pada pendapat Safiyyah, bagaimanakah peraduan ini meningkatkan keyakinan Safiyyah untuk menulis dalam bahasa ibunda?
Pada pendapat saya, peraduan ini telah meningkatkan lagi keyakinan dalam diri saya untuk menulis dalam bahasa ibunda kerana di peringkat saringan, saya telah disuruh oleh guru saya untuk membuat kajian-kajian tentang penyakit yang dialami oleh seorang watak yang telah saya tulis dalam cerita saya dalam peringkat tersebut. Melalui peraduan ini juga, guru saya telah mendedahkan saya kepada perkataan-perkataan Bahasa Melayu yang lain yang saya tidak tahu. Kini, kosa kata saya telah lebih meningkat dan saya lebih mengenali dan memahami perkataan-perkataan dan frasa-frasa yang berbeza. Saya telah menjadi lebih yakin kerana saya sudah ada pelbagai perbezaan perkataan yang saya tahu dan jikalau dahulu, pemilihan perkataan menjadi satu masalah bagi saya, tetapi kini, tidak lagi.
Dalam masa akan datang, apakah harapan Safiyyah sebagai seorang penulis? Apakah yang ingin Safiyyah capai melalui penulisan?
Pada masa akan datang, harapan saya sebagai seorang penulis adalah supaya hasil-hasil karya penulisan saya akan menjadi manfaat bagi semua, insha Allah. Saya juga berharap bahawa orang ramai dapat menghayati dan mengambil sedikit sebanyak faedah yang terdapat dalam karya-karya saya. Melalui penulisan, saya berharap agar dapat menyumbang kepada perkara-perkara atau isu-isu yang dibincangkan kini. Saya berpeluang untuk mengekspresikan setiap apa yang berlegar dalam hati dan benak fikiran saya. Melalui itu, saya juga berharap bahawa orang ramai akan lebih mengenali diri saya yang sebenar. Penulisan juga berupaya memberi saya peluang untuk mendedahkan diri saya kepada banyak perkara-perkara yang lain. Dengan itu, saya akan lebih tahu banyak perkara yang saya tidak ketahui selama ini. Penulisan juga memberi peluang kepada saya untuk memberitahu pertama, pengalaman saya misalnya di sekolah, di dalam mahupun luar negara. Kedua, pengajaran tentang melalui kehidupan seharian saya. Ketiga dan akhir sekali, pandangan saya mengenai isu-isu pembelajaran saya di sekolah.
Akhir sekali, adakah Safiyyah mempunyai beberapa patah kekata semangat kepada rakan-rakan yang ingin menulis tetapi belum cukup yakin untuk berkarya?
Perjalanan beribu batu, bermula dengan langkah yang pertama. Selamat berkarya!
Begitu bernas sekali pendapat penulis-penulis muda kita. Kami pasti anda juga pasti boleh menulis. Ambil langkah yang pertama hari ini, mana tahu, satu hari nanti, anda pun akan menjadi seorang penulis yang bermanfaat kepada masyarakat!