Cerpen

Robot

olehMuhammad Mukarram Sofi Bin Mohamad Mamfizam
April 2016

Suasana riuh di sekolah. Aku dapat melihat rakan-rakanku bersama ibu-bapa masing-masing sedang menunggu di luar pintu dewan. Semua dengan perasaan masing-masing. Gementar, takut, bimbang dan tidak sabar. Tidak sabar mendapat keputusan Peperiksaan GCE ‘A’ mereka. Aku pun begitu juga. Gementar ada. Takut ada. Bimbang dan tidak sabar pun ada. Cuma, aku tidak ada sesuatu yang dimiliki rakan-rakanku. Sokongan. Ibu bapaku tidak seperti ibu bapa rakan-rakanku. Ibu bapaku terlalu sibuk bekerja. Tiada masa untukku. Yang ada menemaniku ialah CX2160. Robot. Ya, dia adalah kawan rapatku. Robot yang memainkan banyak peranan. Dia seperti ibu bapaku yang menguruskan hal kebajikanku. Dialah yang menemaniku walau di mana sahaja aku pergi. Dialah teman untuk aku meluahkan masalah dan perasaanku. Sudah 18 tahun kami bersama sejak ibu dan ayah membina robot ini untuk menjagaku. Cuma, robot ini tidak ada emosi. Tiada kasih sayang. Tiada keprihatinan. Hanya ada tugas dan beban yang harus dipikulnya sepanjang masa.

Aku terbaring di atas katilku. Dengan keputusan sijil GCE A Levelku yang cemerlang di dalam tangan, aku terfikir tentang universiti dan bidang apa yang ingin aku ikuti. Tapi, aku juga terfikir tentang sebab aku belajar selama ini. Mengapa harus aku belajar? Untuk mendapat pekerjaan yang baik? Ya, supaya aku dapat duit yang banyak. Supaya aku kaya. Tapi buat apa? Buat apa nak kaya? Oh, ya. Supaya aku dapat menjaga ibu bapaku apabila mereka tua nanti. Apabila mereka tidak sekuat kini. Apabila mereka perlukan sokongan untuk terus hidup. Dan pada masa itulah, aku harus bertanggungjawab menjaga mereka.

‘Ding! Dong!’ Kedengaran bunyi loceng rumah membuat aku tersentak seketika daripada lamunanku.

Aku segera berlari membuka pintu bersama sijil peperiksaan peringkat GCE ‘A’ aku dalam genggaman. Pecutku lebih laju daripada CX2160 yang selalunya dengan segera akan membuka pintu.

“Ibu, ayah. Ain dapat keputusan cemerlang”, aku memberitahu mereka dengan penuh harapan. Harapan supaya mereka akhirnya mengiktiraf aku. Mengiktiraf kewujudanku.

Namun.

“Ini kamu kata cemerlang?” soal ayahku sebelum menuju ke dalam bilik.

“Ain, Ibu dan ayah penat. Kami rehat dulu ya?” jawab ibu dengan dingin.

Gundah-gulana. Tersedu. Tersedan. Kehampaan. Namun, inilah hakikatnya setiap kali aku ingin berbual bersama mereka. Aku terbaring lagi di atas katilku. CX2160 datang mengesat air mataku dan mengusap rambutku kerana telah diprogram untuk bertindak begitu apabila mengesan air mata. Melihat CX, aku jadi cemburu padanya. CX tidak pernah mengecewakan Ibu dan Ayah tetapi aku…

“Ibu! Ayah! Ain hanya manusia biasa bukan robot yang dicipta untuk bersahaya,” rintihku pada CX yang setia.

Share icon-linkedin icon-facebook icon-twitter icon-wa

Kakak

Pengorbanan