Cikgu Nur Khairiah merupakan satu-satunya penulis Singapura yang diberikan kesempatan untuk menulis bersama penulis buku-buku remaja yang terlaris di Malaysia, Cik Ain Maisarah. Sejauh ini, beliau telah menghasilkan bersama 3 buah buku di bawah naungan syarikat BLINK iaitu: ‘Miss Spa LAWAN Miss Kampung’, ‘OMG! Gila Buku’ dan ‘Aku Mahu Banyak Like’. Walaupun sibuk mengimbangi tugas-tugasnya sebagai seorang guru dan seorang wanita berkeluarga, beliau masih gigih menulis novel-novel Blink Book yang seterusnya.
Dalam wawancara ini kita akan menyingkap bagaimana beliau mula berkecimpung dalam dunia penulisan serta nasihatnya buat penulis-penulis cilik kita di Singapura.
Soalan-soalan:
1) Kembara NUSA: Pada pendapat Cikgu, apakah ciri-ciri sebuah karya sastera kanak-kanak dan remaja yang baik?
Cikgu Khairiah: Bagi saya, antara ciri-ciri sebuah karya sastera kanak-kanak dan remaja yang baik adalah:
- Watak remaja dipilih sebagai watak utama dalam karya tersebut supaya pembaca dapat menghubungkan diri mereka dengan watak dalam cerita.
- Tema yang berkait rapat dengan diri remaja. Contohnya alam persekolahan, persahabatan dan kekeluargaan. Selalunya, sastera juvenil mempunyai elemen penting iaitu konflik yang terjadi dalam watak remaja dalam karya tersebut. Oleh yang demikian, pembaca remaja dapat menghayati cerita dalam karya.
- Persoalan yang digarap dalam sebuah karya juvenil selalunya berkenaan trend masa kini yang diikuti oleh golongan remaja.
- Bahasa yang sesuai dan mudah difahami oleh golongan remaja. Selalunya, karya sastera juvenil nampak lebih bertenaga dari segi gaya bahasa dan plot cerita. Sesuai dengan jiwa remaja yang berwarna-warni.
2) KN: Apakah inspirasi, dedikasi dan motivasi utama Cikgu dalam menceburi bidang penulisan ini? Di samping itu, bagaimanakah Cikgu memastikan penulisan menyerlah dan unik daripada penulis yang lain?
CK: Saya peminat buku-buku Enid Blyton. Setiap kali membaca karya-karyanya, memang menghiburkan. Kegembiraan yang saya rasai itu membuatkan saya ingin menjadi seperti beliau.
Bermula dengan penulisan buku bergambar kanak-kanak, anak-anak saya merupakan inspirasi utama saya menceburi bidang penulisan. Pada tahun yang sama, saya diterima untuk menjadi salah seorang penulis Syarikat Blink Book setelah melalui beberapa pusingan cabaran penulisan oleh syarikat tersebut.
Bagi saya, cabang penulisan ini adalah satu wadah ilmu. Menulis bukan setakat medan untuk saya berkongsi ilmu kepada pembaca sahaja. Disebabkan kecintaan saya terhadap bahasa ibunda, menulis juga menjadi medan untuk saya menggarap lebih banyak ilmu penulisan agar menjadi seorang penulis yang lebih baik pada masa-masa mendatang.
Sebagai penulis bersama, saya menitik beratkan tatabahasa dan variasi gaya bahasa sebelum dihantarkan kepada ketua penulis dan editor. Bagi saya, penulisan yang menyerlah bermula dari peringkat awal iaitu draf penulisan kita. Selain itu, saya cuba memastikan agar watak-watak yang direka oleh saya mempunyai pengenalan perkembangan yang baik dan ada kesinambungan dalam siri-siri yang seterusnya. Bagi pengisian novel pula, saya cuba menerapkan pengetahuan agama melalui cara yang santai tetapi dapat difahami dengan mudah oleh pembaca muda walaupun isunya mungkin berat.
3) KN: Kebanyakan buku dalam siri ini disasarkan kepada anak-anak perempuan muda. Dengan memaparkan mereka sebagai individu yang mampu menjadi heroin sendiri, apakah harapan Cikgu bagi golongan ini?
CK : Anak-anak perempuan yang melangkah ke alam remaja pasti akan mengalami perubahan dalam hidup. Memandangkan alam remaja tidak seperti zaman kanak-kanak, mereka perlu menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku di sekeliling. Begitu juga remaja perempuan apabila hendak melangkah ke alam dewasa. Pasti ada konflik dalaman yang perlu mereka lalui. Novel-novel Blink juga banyak mengandungi moral tentang sebab dan akibat sesuatu kejadian. Jika ada cerita yang dekat dengan mereka, yang keruh dijadikan tauladan. Ambil yang jernih dan bina kepercayaan dan keyakinan dalam diri untuk menjadi heroin dalam hidup.
4) KN: Di Singapura, peluang bagi mereka yang minat menulis untuk menceburi bidang ini agak terhad sehingga menyebabkan minat ini untuk terus dipendam atau digugurkan. Sebagai permulaan, wadah atau langkah permulaan apa yang dapat diambil bagi memastikan minat mereka ini dapat dikembangkan secara serius?
CK: Ambil peluang untuk menyertai mana-mana aktiviti penulisan yang dianjurkan oleh perpustakaan, badan-badan atau organisasi tempatan. Di Singapura, acara-acara seperti Singapore Writers Festival dan Asian Festival of Children’s Content (AFCC) Singapore memberi peluang kepada para peserta untuk meneroka pasaran Asia dalam bidang penerbitan, meluaskan rangkaian kenalan yang terlibat dalam industri penulisan dan bertemu dengan penulis-penulis terkenal.
Tahun ini juga ada banyak peraduan menulis yang dianjurkan sepanjang tahun. Walaupun peraduan menulis dalam bahasa ibunda mungkin agak kurang, Singapura menggalakkan literasi dwibahasa. Oleh itu, masih ada harapan. Rajin-rajinlah mencari maklumat melalui enjin pencarian di Internet. Itulah antara salah satu sebab saya berada dalam bidang ini: gara-gara gemar melungsuri Internet.
5) KN: Akhir sekali, apakah harapan Cikgu bagi para penulis muda yang ingin menceburi bidang penulisan?
CK: Menjadi penulis muda bukan satu perkara yang mustahil. Penulis-penulis muda yang saya kenali merupakan golongan yang suka membaca. Melalui bacaan, banyak perkara yang kita belajar. Ada juga rakan-rakan penulis Blink Book yang bermula sebagai pembaca buku-buku Ain Maisarah dan kini menulis bersamanya.
Bagi penulis muda, zaman kini, ada pelbagai cara untuk menceburi bidang penulisan sama ada melalui syarikat penerbitan ataupun terbit sendiri (self-publish).
Sementara itu, jika minat sudah ada, ambil peluang untuk menulis di media sosial seperti blog dan laman Facebook secara konsisten. Jika tidak berani, sentiasa berlatih menulis di buku nota khas. Tidak mustahil, ada pihak yang mungkin berminat dengan penulisan anda. Tingkatkan usaha dan jangan putus asa! Insya-Allah berjaya satu hari kela
Demikianlah wawancara khas bersama Cikgu Nur Khairiah! Banyak sekali kekata indah, pesanan dan tips-tips yang berfaedah dan yang dapat dimanfaatkan telah disebutnya dalam wawancara ini. Ternyata bidang penulisan tidak berdiri sendirian. Malah, bidang penulisan ini juga patut dilihat sebagai satu medan menelaah dan mengongsi ilmu.
Diharapkan wawancara ini telah memberi inspirasi kepada mereka yang minat menulis untuk terus memperjuangkan minat itu sehingga berjaya suatu hari nanti. Isi kandung wawancara ini juga bukan khusus bagi peminat karya penulisan saja. Malah, bagi setiap pelajar, nasihat Cikgu Nur Khairiah untuk rajin berlatih serta mencari cara-cara untuk memperbaiki diri pastinya akan membuahkan hasil kelak! Biarpun jalan di hadapan mungkin dipenuhi pancaroba, kegigihan dan kecekalan akan melahirkan kejayaan, sepertimana yang dilihat pada diri Cikgu Nur Khairiah.