Adik mengucup tanganku. Kemudian, tubuhku dirangkulnya erat. Perasaan rindu yang lama terbuku di dalam hati, dilepaskan sepuas-puasnya. Lebih dua dekad dia tidak bertemu dengan aku dan Angah. Banyak perubahan yang dapat aku lihat pada dirinya. Cara pendewasaannya berbeza dengan kami. Dan pada hari ini, aku bersyukur kepada yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kerana mengizinkan kami bertiga bertemu. Dengan izin-Nya, aku dan Angah berjaya menjejaki Adik di laman sosial Facebook sebulan yang lalu. Hari ini, genaplah dua puluh lima tahun Mak dan Abah meninggalkan kami.
“Along apa khabar?”
“Sihat, alhamdulillah. Sudahlah tu, jangan menangis lagi. Buruklah dah besar nangis-nangis macam ni. Mari kita bacakan Al-Fatihah dan Surah Yasin untuk Mak dan Abah,” aku cuba memujuk dengan bercanda sambil mengesat lelehan air mata.
Angah hanya berdiri di sisi kami, memerhatikan gelagat kami berdua sambil tersenyum. Aku tahu beliau juga amat gembira dan sebak kerana kami semua dapat bersatu hari ini. Dia mengusap-usap kepala Hannah Imani yang bertudung merah jambu dengan penuh kasih sayang apabila dia bersalaman dengannya. Kami menghabiskan masa selama sejam lebih di pusara Mak dan Abah. Sebelum membacakan doa untuk mereka, kami membersihkan pusara mereka.
Tatkala aku sedang menitipkan dua buat kedua-dua orang tuaku, hatiku berbisik, “Mak, Abah, Along rindu dekat Mak, Abah.”
Setelah semuanya selesai, kami pulang ke rumah kami-rumah di mana Mak dan Abah membesarkan kami.
“Along, jaga adik-adik kamu baik-baik. Lauk ayam masak merah ada dalam kuali tu. Jangan lupa makan. Bila makan tu, tertib, jangan rebut-rebut. Lauk tu, jangan habiskan semua. Simpan sikit. Boleh buat makan malam dan sarapan esok pagi. Mak temankan Abah ke kebun getah hari ni.” Pesan Mak panjang lebar.
Aku hanya mengangguk-angguk tanda faham. Namun, sebenarnya aku kehairanan. Mengapa lauk itu harus kami tinggalkan untuk makan malam dan sarapan esok pagi? Bukankah Mak akan pulang petang nanti dan masakkan lauk yang baharu? Dan esok pula, tidakkah emak akan bangun awal seperti lazimnya dan akan menggorengkan mi, nasi atau memasak nasi lemak untuk sarapan kami sekeluarga? Mulutku seakan terkunci. Tidak mampu untuk bertanya dengan lebih lanjut tentang pemergian Mak dan Abah pagi ini.
Hari berlalu dengan pantas. Mungkin juga kerana aku sibuk melaksanakan tugas-tugas rumah yang sering emak lakukan. Tidak lagi kedengaran rengekan Adik mahupun suara Angah. Masing-masing leka dengan kerja sendiri.
Senja kian mengengsot pergi. Malam mula datang bertandang. Namun, Mak dan Abah masih belum pulang-pulang lagi. Aku mula rasa tidak sedap hati. Oleh sebab waktu sudah terlalu lewat, aku arahkan agar Angah dan Adik masuk tidur dahulu. Aku menemani Adik dan mendodoikannya hingga terlena. Kemudian, aku menanti sehingga Mak dan Abah pulang.
Pancaran matahari yang terik mengejutkanku. Aku tertidur. Dengan segera, aku bangkit dan menuju ke bilik Mak dan Abah. Kosong. Tandanya mereka tidak pulang semalaman. Aku mengejutkan Angah dan berpesan kepadanya supaya menjaga Adik. Sementara itu, aku ke rumah ketua kampung. Aku disuruh tunggu di rumah. Tepat jam dua belas tengah hari, ketua kampung bersama beberapa orang kampung muncul di rumah kami. Kami segera mendapatkan mereka.
“Farhah, Anaqi, bersabar ya.” Ketua kampung mula berbicara. Aku berdebar-debar.
“Apa yang telah jadi pada Mak dan Abah, Pak Mat?” Kedengaran Angah pantas menyoal.
Melihatkan keadaan kami yang kalut, Adik sudah mula menangis. Seolah-olah dia tahu apa yang terjadi kepada Mak dan Abah.
“Mereka dah tak ada. Kami jumpa mereka di kebun getah, dihempap sebatang pokok,” sambung Pak Mat.
Lututku terasa longlai, tangan Adik yang tadi aku genggam erat sebagai penyumbang semangat, terlepas dari genggamanku dan akhirnya, aku terjelepuk di muka pintu. Angah memelukku. Dia tidak boleh menerima berita itu. Kami tiga beradik menangis tiada henti-henti.
Selepas solat Jumaat hari itu, Mak dan Abah selamat dikebumikan.
Pada hari Isnin berikutnya, aku masih ke sekolah. Aku ingin menyibukkan diriku supaya tidak memikirkan tentang pemergian Mak dan Abahku. Namun, usahaku sia-sia sahaja kerana aku tidak dapat memberi tumpuan penuh di dalam kelas.
Pada malam itu, Pak Mat dan Mak Mah bertandang ke rumah kami.
“Pak Mat ada berita nak beritahu kamu berdua,” katanya sambil menukar pandangan antara aku dan Angah. “Ada orang nak ambil anak angkat,” sambungnya.
Ikan terkilat, jala pun tiba. Aku dapat mengagak tujuan mereka datang malam ini. Namun, aku menanti sahaja tuturnya.
“Mereka tu orang baik-baik. Dah lama mereka berikhtiar untuk mendapatkan zuriat tapi belum rezeki mereka. Mereka berjanji akan menjaga Hannah dengan baik, seperti anak kandung mereka. Seperti menatang minyak yang penuh.”
“Daun dapat dilayangkan, getah jatuh ke perdu juga,” bisik nuraniku. “Kalau Pak Mat fikir ini yang terbaik buat Adik, Pak Mat uruskanlah apa yang patut. Saya reda,” aku membuat keputusan dengan berat hati tanpa berfikir panjang.
“Along! Along dah tak sayangkan Adik lagi ke?” jerkah Angah.
Aku hanya membatukan diri.
Tiba hari Adik harus berpisah dengan kami. Semalaman aku tidak tidur. Aku merenung wajah Adik yang nyenyak dibuai mimpi walau basah dibanjiri air mata kerana dia tidak mahu berpisah dengan kami esok. Aku tidak menemani Hannah untuk berjumpa Mama dan Papa baharunya kerana aku tidak mahu dia berdalih. Juga, kerana aku tidak betah terpaksa berpisah dengannya. Aku hanya memerhatikan dari jauh, berpura-pura sibuk di dapur. Tersirat sedikit kesal kerana aku tidak tahu bila lagi aku akan dapat berjumpa dengannya.
Selepas hari itu, kami tidak menerima berita tentang Hannah. Yang kedengaran hanya khabar angin bahawa keluarganya telah berhijrah ke Amerika Syarikat. Angah dan aku cuba untuk tidak membuat spekulasi-spekulasi yang negatif. Doa kami untuk adik tersayang tidak pernah putus.
Dua puluh lima tahun kemudian, Angah berjaya menjejak Hannah di laman sosial Facebook. Begitulah kami dapat berkumpul sekali lagi hari ini. Rasa syukur tidak dapat aku lahirkan dengan kata-kata. Hannah telah dibesarkan dengan didikan akademik dan agama yang cukup. Aku dan Angah juga telah berjaya atas usaha kami sendiri – belajar dan bekerja sambilan untuk menyara hidup kami.
“Along bangga tengok adik-adik Along ni. Iman Anaqi seorang juruterbang yang cekap. Hannah Imani pula jurutera yang tersohor,” pujiku penuh bangga.
“Along pun apa kurangnya! Farhah Imani, peguam yang disegani!” Giliran Adik memujiku.
Dalam pada itu, hatiku berbisik, “Mak, Abah, lihat anak-anak Mak, Abah. Semua dah besar. Kami rindu Mak, Abah. Terima kasih atas semua pengorbanan dan didikan yang telah Mak dan Abah, berikan kepada kami semua.”
ULASAN CERPEN
Cerpen “Pengorbanan” mengisahkan pengorbanan-pengorbanan yang terpaksa dilakukan oleh keluarga Along. Ibu dan Ayahnya terpaksa bekerja keras untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga higgalah ke penghujung nyawa mereka. Kemudian, Along serta adiknya Angah terpaksa berkorban menyerahkan adik bongsu mereka kepada sebuah keluarga angkat selepas kematian ibu bapa mereka.
Cerpen ini dianggap berjaya kerana “suara penulis”nya amat meyakinkan. Penulis menggambarkan dengan terperinci kehidupan harian Along serta perwatakannya melalui perbuatan, kata-kata dan fikirannya.
Sebagai renungan, cuba fikirkan pula pengorbanan-pengorbanan yang perlu dilakukan oleh keluarga kamu sendiri. Dengan mencungkil pengalaman sendiri , karya kita akan lebih meyakinkan.
Satu lagi keistimewaan cerpen ini ialah penulis telah berjaya menggunakan gaya bahasa yang menarik melalui penggunaan peribahasa, metafora dan personifikasi.
Peribahasa:
- Ikan terkilat, jala pun tiba.
- Seperti menatang minyak yang penuh
- Daun dapat dilayangkan, getah jatuh ke perdu juga
Metafora:
- Aku hanya membatukan diri.
- basah dibanjiri air mata
Personifikasi:
- Senja kian mengengsot pergi.
- Malam mula datang bertandang.
Semoga para pembaca juga dapat menerapkan kedua-dua ciri penulisan ini dalam karya anda.