Bunga mawar merahnya warna,
Apa khabar orang di sana?
Seperti yang telah diketahui, pantun merupakan satu cara berkomunikasi antara orang Melayu sejak berabad lamanya. Pantun bukan sahaja digunakan oleh golongan orang dalam istana malah digunakan juga oleh rakyat jelata. Secara umumnya, pantun disampaikan secara lisan kerana pada suatu ketika dahulu, tidak ramai rakyat biasa yang tahu menulis. Oleh itu, mereka berkomunikasi antara satu sama lain dengan menyampaikan pantun secara lisan.
Kini, dengan adanya pendidikan dan kemudahan untuk belajar, orang ramai dilengkapi dengan kemahiran menulis. Sayangnya, penggunaan pantun pula semakin berkurangan. Mungkin ada yang merasakan bahawa mengarang pantun mengambil masa yang terlalu lama kerana banyak perkara yang harus difikirkan seperti mencari pembayang dan menjaga rima kata. Dengan kehidupan kita yang begitu pantas berlalu, tidak ramai yang ingin meluangkan sebahagian masa mereka untuk berpantun, terutama sekali dalam konteks seharian.
Ramai juga yang mungkin segan untuk berpantun kerana mereka kurang yakin akan kebolehan mereka untuk berpantun. Kekurangan ilmu tentang cara-cara untuk mengarang pantun dengan baik juga membuat mereka berasa lebih malu untuk berpantun. Malah, berbeza dengan masa dahulu, pantun kini tidak lagi digunakan dalam komunikasi seharian. Oleh itu, orang ramai lebih selesa bertutur secara biasa daripada berbalas pantun.
Pantun kini lebih kerap digunakan dengan cara yang formal. Acara-acara seperti majlis perkahwinan dan majlis penyampaian hadiah banyak menggunakan pantun untuk mengindahkan lagi acara mereka. Malah, pantun juga digunakan sebagai pembuka dan penutup acara bag pertandingan bahasa seperti pertandingan pidato dan bahas untuk memeriahkan lagi suasana di dalam dewan. Salah satu pantun pembuka acara berbunyi begini:
Indah berbalam si awan petang,
Berarak di celah pepohon ara;
Pemanis kalam selamat datang,
Awal bismillah pembuka acara.
Pantun sebegini lebih bersifat sebagai komunikasi satu hala kerana pengacara majlis hanya menyampaikan saja pantun mereka tanpa mengharapkan balas bagi pantun tersebut. Hal ini berbeza daripada pantun yang digunakan seharian. Pantun yang digunakan sesama kita lebih bersifat dua hala dan seringkali menggunakan soalan agar kita dapat berbalas pantun secara berterusan. Pantun sebegini juga lebih ringkas dan mudah difahami, tidak seperti pantun-pantun formal yang selalunya lebih panjang dan kompleks.
Lihat saja contoh perbualan seharian ini vang hanya menggunakan pantun:
Pemantun A:
Anak nelayan mencari ikan,
Awak semua sudah makan?
Pemantun B:
Ikan di pasar habis diborong,
Sayangnya perutku masih kosong.
Pemantun A:
Umpan dimakan ikan gelama,
Awak nak pergi makan bersama?
Pemantun B:
Memancing ikan di tepi paya,
Adakah awak belanja saya?
Seperti yang dilihat, orang ramai selalunya lebih selesa menggunakan pantun dua kerat kerana ia lebih ringkas dan mudah untuk dicipta. Pantun-pantun formal selalunya menggunakan pantun empat kerat dan dicantikkan lagi dengan rima tengah atau rima akhir yang sempurna. Kata-kata yang digunakan juga lebih indah dan berbunga-bunga. Tambahan pula, pantun-pantun seharian tidak semestinya disampaikan secara lisan. Orang ramai kini boleh berbalas pantun dengan mudah menerusi aplikasi seperti Twitter dan Whatsapp.
Walaupun orang ramai tidak lagi menggunakan pantun dalam komunikasi seharian, ada pula yang menggunakan media sosial untuk meluahkan sentimen cinta mereka terhadap pantun. Ada penggemar pantun yang menggunakan media sosial sebagai wadah atau platform untuk menyampaikan pantun mereka dengan cara yang lebih kreatif Ada juga yang telah membuat akaun khas di Instagram atau FaceBook untuk mengumpul dan memuatnaikkan pelbagai jenis karya pantun.
Penganjur pertandingan pantun juga menggunakan media sosial untuk memuatnaikkan pantun untuk mempromosikan acara mereka.
Hias angkasa pelangi terlakar,
Indah berseri sinarnya terang;
Mahkota bahasa kian dikejar,
Kalau berani turun gelanggang.
Dengan penggunaan media sosial yang semakin berleluasa, ramai juga yang menggunakan wadah tersebut untuk meluahkan fikiran atau perasaan mereka tanpa perlu berasa malu atau segan. Sebagai contoh, ada yang menggunakan media sosial untuk melahirkan rasa ketidakpuasan mereka tentang isu-isu sosial yang berlaku di sekeliling mereka. Sayangnya, kata-kata kesat yang dikeluarkan sesetengah orang boleh membuat pembaca berasa marah dan benci dengan si penutur. Malah, perbalahan juga boleh berlaku. Dengan itu, ada yang menggunakan pantun secara kreatif untuk menyampaikan luahan hati mereka.
Adat orang masuk meminang,
Karang pantun haraplah sudi;
Adat orang kemaruk menang,
Hilang santun hilanglah budi.
Pantun ini dilihat sebagai sindiran berkias terhadap orang-orang yang dimaksudkan. Pantun-pantun sebegini bertujuan untuk memastikan bahawa orang-orang yang membacanya tidak akan berasa tersinggung dengan maksud pantun tersebut, kecuali mereka yang dimaksudkan sahaja yang pasti memahami mesej yang ingin disampaikan. Bak kata orang, siapa yang makan lada dialah yang terasa pedas.
Ternyata, pantun mash lagi bole diterapkan dalam kehidupan kita pada masa kini. Walaupun ia tidak lagi kerap digunakan dalam pertuturan seharian kita, mash ada banyak lagi cara untuk kita menggunakan pantun dengan lebih kreatif dan bermakna. Malah, dengan adanya media sosial, orang ramai boleh berbalas pantun dengan sesiapa sahaja tidak kira di mana mereka berada. Dengan itu, marilah kita terus memperjuangkan penggunaan pantun agar ia tidak lenyap ditelan zaman.
Tidaklah kering air perigi,
Semoga kita bersua lagi.