Gugur setangkai bunga melati,
Bersepah kelopak celahan di dada;
Sekian lama sudah dinanti,
Izinkan saya mulakan bicara.
Begitulah salah satu contoh pantun adat yang sering digunakan di masa kini. Pantun adat selalunya digunakan dalam upacara adat istiadat orang Melayu. Pantun yang mengajar kita tentang adat resam orang Melayu juga tergolong dalam jenis-jenis pantun adat. Ciri-ciri yang sering kita lihat pada pantun adat ialah isi pantun tersebut adalah berkenaan adat dan ia mengajak kita mendalami serta menghayati budaya dan adat istiadat kita.
Berbalik kepada pantun di atas, pantun adat sebegini selalunya disampaikan waktu pembukaan sesebuah acara. Memang sudah menjadi adat orang Melayu untuk bertutur dengan cara yang lembut dan berkias. Penggunaan pantun bagi membuka acara adat istiadat membantu menyerikan dan mengindahkan lagi suasana dalam majlis tersebut.
Bunga mawar bunga melati,
Harum semerbak tepi halaman;
Besar sungguh hajat di hati,
Untuk menyunting bunga di taman.
Pantun ini dapat kita lihat dalam upacara merisik. Dalam majlis tersebut, pihak lelaki akan ke rumah pihak wanita dengan niat untuk bertanya sekiranya wanita yang diminati sudah berpunya. Wakil daripada kedua-dua pihak akan berbalas pantun dengan penuh sopan dan beradab. Ketika berbalas pantun, wakil pihak lelaki akan menyampaikan hajat mereka menerusi pantun. Hal ini dilihat sebagai lebih sopan dan indah jika berbanding hajat yang disampaikan secara berterus terang. Sikap berterus terang ini mungkin boleh dilihat sebagai agak kasar dan kurang beradab. Kata-kata berkias digunakan untuk melembutkan hati orang ramai, memeriahkan majlis serta mencerminkan sifat sopan santun orang Melayu.
Pantun adat bukan sahaja digunakan di majlis merisik, pertunangan atau perkahwinan. Pantun adat juga boleh digunakan dalam majlis keramaian yang lain seperti majlis korporat ataupun acara persekolahan. Juruacara bagi majlis-majlis tersebut boleh menggunakan pantun pada bila-bila masa sahaja ketika majlis itu dijalankan. Setiap pantun yang digunakan juga mempunyai fungsi-fungsi yang berbeza. Sebagai contoh:
Kalau ada jarum yang patah,
Jangan disimpan di dalam peti;
Kalau ada silap dan salah,
Jangan disimpan di dalam hati.
Bintang barat terbitnya petang,
Bintang timur terbitnya pagi;
Jika tidak melarat panjang,
Ada umur bertemu lagi.
Pantun-pantun tersebut diungkapkan pada penghujung sesebuah majlis. Juruacara akan meminta maaf sekiranya terdapat apa-apa kekurangan daripada pihak penganjur. Salam perpisahan pada akhir rancangan juga diselitkan dengan doa dan harapan agar dapat bertemu lagi dengan tetamu yang hadir di lain masa.
Selain pantun adat untuk majlis keramaian, terdapat juga pantun adat yang lebih bertujuan untuk mengajak kita menghayati dan mengamalkan adat istiadat kita. Pantun adat sebegini sering diungkapkan oleh orang-orang dewasa yang ingin mengingatkan anak muda akan adat istiadat mereka yang telah diturunkan sejak berzaman lagi. Sebagai contoh:
Tanam kelapa di Pulau Bukum,
Tinggi sedepa sudah berbuah;
Adat bermula dengan hukum,
Hukum bersandar di Kitabullah.
Pantun ini menyampaikan maksud bahawa adat orang Melayu perlu bersandarkan hukum-hukum yang telah ditetapkan dalam kitab Allah, Al-Quran. Pantun ini mencerminkan perubahan adat yang berlaku apabila Islam tiba di wilayah Nusantara. Adat budaya yang berasaskan agama Hindu dan Budha diketepikan kerana melanggar hukum-hukum Islam. Sehingga kini, adat Melayu masih terjaga kerana kebanyakan orang Melayu beragama Islam. Namun, dengan adanya pengaruh orang barat yang semakin berleluasa, kita dinasihatkan supaya tidak meninggalkan adat kita agar tidak terikut budaya orang barat yang mungkin bercanggah dengan hukum Islam.
Orang berkebun saya berkebun,
Dalam kebun bertanam bunga;
Orang berpantun saya berpantun,
Dalam pantun adalah makna.
Pantun ini pula mengajak kita untuk terus menggunakan pantun sebagai cara untuk berkomunikasi sesama kita. Melalui pantun ini, orang dewasa dapat mengingatkan anak muda supaya tidak melupakan adat berpantun orang Melayu. Anak muda juga diingatkan bahawa pantun yang dicipta perlulah ada makna agar terjaga keindahan pantun tersebut. Pantun yang tidak bermakna hanyalah sia-sia sahaja.
Kecantikan pantun Melayu mencerminkan keindahan adat kita. Dengan itu, marilah kita sama-sama menjaga adat Melayu yang mulia dan penuh bermakna.
Pohon rumbia berbuah sarat,
Pergi memetik tepi perigi;
Hidup manusia biar beradat,
Bahasa tidak berjual beli.