Pernahkan kamu berasa seperti 24 jam dalam sehari itu tidak pernah mencukupi? Pernahkah juga kamu menduduki ujian atau peperiksaan sebelum selesai mengulangkaji semua yang patut? Tentunya bukan kamu seorang sahaja yang mengalami situasi sedemikian. Ramai pelajar mengalami kesukaran untuk mengimbangi masa dengan baik. Disebabkan itu, mereka akan berasa seolah-olah sentiasa kesuntukan masa di samping sering kelam kabut untuk menyelesaikan tugasan tepat pada waktunya. Pengimbangan masa yang bijak amat penting bagi seorang pelajar yang ingin berjaya. Selain itu, akhlak seorang pelajar juga memainkan peranan besar dalam proses pembelajaran dan kejayaannya. Dalam isu ini, NUSA akan mengulas cara-cara untuk mengimbangi masa dengan bijak dan berkesan, serta akhlak terpuji seorang pelajar yang berjaya.
Cara-cara Mengimbangi Masa Dengan Bijak & Berkesan
- Ketahui keutamaan kamu
Sebagai seorang pelajar, kamu pastinya mempunyai banyak tuntutan dan tanggungjawab. Seringkali, kamu akan terperangkap dalam dilema sama ada ingin mengulangkaji, beriadah bersama rakan-rakan atau meluangkan masa bersama keluarga tercinta. Dalam situasi begini, kamu harus menanyakan pada diri sendiri: apakah yang menjadi keutamaan kamu. Sebagai contoh, kamu terperangkap dalam situasi di mana ada majlis keluarga yang amat penting yang harus kamu hadiri seperti majlis nikah atau persandingan saudara-mara, tetapi peperiksaan pertengahan tahun kamu menghampiri. Dalam situasi ini, ketahuilah bahawa keluarga itu sentiasa wajar menjadi keutamaan. Namun, ini tidak bermaksud kamu harus meninggalkan pengulangkajian sama sekali. Kamu masih boleh memanfaatkan cebisan waktu yang terluang. Hal ini akan disentuh dalam bahagian ketiga. Dari itu, untuk mengimbangi waktu dengan berkesan, kamu harus tahu aktiviti mana yang lebih penting dan yang menjadi keutamaan kamu. Dengan ini, kamu dapat membuat pilihan yang bijak dan tidak akan berasa “bersalah” atau “menyesal” apabila kemudiannya kamu sedar bahawa kamu kesuntukan masa untuk mengulangkaji pelajaran. -
Lakarkan jadual waktu
Seringkali, pakar motivasi akan menasihati kamu untuk melakarkan jadual waktu. Namun begitu, adakah kamu tahu cara yang betul untuk membuat jadual waktu? Sebuah jadual waktu bukan sahaja catatan mata pelajaran yang bakal kamu ulangkaji pada setiap petak waktu. Sebuah jadual waktu seharusnya terperinci yakni, harus mengandungi mata pelajaran yang ingin diulangkaji, bab yang khusus dan kaedah pengulangkajian.
Sebagai contoh:Sabtu (0900-1000):
Matapelajaran: Matematik
Bab: Nisbah
Tugas: Selesaikan kertas Peperiksaan Pertengahan Tahun 2013Matapelajaran (1000-1100):
Matapelajaran: Sains
Bab: Tumbuh-tumbuhan
Tugas: Lakarkan peta minda ringkasan tentang topik iniSelain itu, jangan lupa untuk memasukkan waktu rehat dan tidur di dalam jadual kamu. Ini kerana rehat dan tidur yang mencukupi amat penting demi memastikan otak sentiasa cerdas dan badan cergas. Jangka tidur yang optimum ialah lapan jam bagi kanak-kanak dan remaja.
Jadual waktu yang terperinci akan membantu kamu untuk mengulangkaji dengan lebih berkesan serta membolehkan kamu untuk memantau perkembangan kamu dalam pengulangkajian kamu.
-
Manfaatkan cebisan waktu yang terluang
Kamu akan kehilangan banyak masa jika kamu tidak tahu memanfaatkan cebisan waktu yang terluang. Cebisan waktu yang terluang ialah masa yang sering terbazir sewaktu menantikan bas, dalam perjalanan ke sekolah, waktu beratur untuk membeli makanan dan sebagainya. Masa yang terluang mungkin hanya lima minit, namun kalau dibiarkan sahaja terluang hari-hari, jumlah masa yang dibazirkan boleh menjangkau beberapa jam. Justeru, dalam cebisan waktu yang terluang sebegitu, kamu boleh membaca nota atau cuba mengingati apa yang guru baru selesai ajarkan di dalam kelas. Jika kamu menjadikan ini suatu kebiasaan, kamu akan menjimatkan waktu mengulangkaji dan tidak akan ketinggalan di dalam kelas. Misalnya, kamu boleh menulis nota di atas kad-kad kiu supaya senang dibawa ke mana-mana. Sewaktu menunggu bas (yang kadangkala memakan masa sehingga dua puluh minit), kamu boleh menggunakan kad-kad kiu itu untuk mengulang kaji. Dengan cara ini, kamu tidak perlu bimbang jika nota-nota kamu keciciran dan sebagainya.
Akhlak Pelajar Yang Berjaya
Kejayaan seseorang pelajar itu bukan saja diukur oleh kepandaiannya atau kejayaannya dalam bidang akademik. Malah, kejayaan seseorang pelajar juga diukur oleh perangai dan akhlaknya. Akhlak seseorang pula, boleh menjadi faktor penyumbang kepada kejayaannya. Di dalam Gurindam 12, Raja Ali Haji telah menyingkap sifat-sifat terpuji yang patut setiap individu miliki. Sifat-sifat ini patut dicontohi setiap pelajar yang ingin berjaya.
“Jika hendak mengenal orang yang berilmu,
Bertanya dan belajar tiadalah jemu.” – Raja Ali Haji
Untuk berjaya, seseorang itu tidak boleh malu bertanya. Di dalam kelas, kamu harus kerap menyuarakan kegusaran kamu. Jika tidak, akan menjadi sukar untuk kamu memahami konsep-konsep yang lebih rumit. Banyak bertanya juga akan memastikan yang kamu memahami sesuatu konsep itu dengan betul. Selain itu, murid yang berjaya juga tidak boleh jemu mencari ilmu. Kadang kala, apabila mendapat keputusan yang cemerlang untuk sesuatu, kita akan terlalu berpuas hati dan akan menjadi leka dan lama-kelamaan, mengabaikan subjek tersebut. Untuk menjadi seorang pelajar yang berjaya, keputusan yang cemerlang seharusnya menjadi pemangkin semangat bagi kita untuk berusaha dengan lebih gigih dan cuba mencapai keputusan yang lebih baik. Ingat, keputusan yang cemerlang tidak bererti yang kesempurnaan dalam pengetahuan dan kemahiran kerana pasti ada aspek-aspek yang beleh diperbaiki.
“Apabila perut terlalu penuh,
Keluarlah fi’il yang tiada senonoh.” – Raja Ali Haji
Apabila mendapat keputusan yang baik, kita tidak harus menjadi bangga dan hidung tinggi. Sentiasa mengingati rakan-rakan yang tidak berjaya seperti kamu. Akhlak terpuji seorang pelajar yang berjaya ialah untuk bersimpati dan sensitif terhadap orang sekeliling. Apa yang boleh kamu lakukan adalah untuk mengajar atau membimbing rakan kamu jika dia mempunyai masalah dalam sesuatu matapelajaran. Mengajar itu juga merupakan satu kaedah mengulangkaji yang amat efektif. Justeru, selain dapat membantu rakan kamu, kamu juga sedang mengukuhkan kepakaran kamu dalam sesuatu mata pelajaran itu.
Akhir kalam, ingatlah bahawa kejayaan itu bukan sahaja memerlukan usaha yang gigih tetapi juga sikap yang positif.