“Kakak!”
Amirah menghela nafasnya dalam-dalam. Matanya dipejamkan seketika. Bibir diketap rapat agar tidak terhambur lahar kemarahan yang sedang membuak-membuak dalam lubuk hatinya. Periuk nasi yang sedang dibasuh dihempas sedikit tanda protes kecil sebelum menyahut panggilan Ibu.
“Ya Ibu, Kakak sedang basuh periuk untuk masak nasi,” jawab Amirah sedikit keras.
Dalam hatinya terdetik juga sedikit kebimbangan takut ibu sedar bahawa suaranya ditinggikan bukan hanya kerana dia jauh dari ibu yang ada di bilik.
“Ah! Aku bukan malaikat. Yang sebetulnya bukan aku yang ‘kakak’ pun,” gumamnya perlahan sambil mengelap tangan yang masih bersabun.
“Kakak! Cepatlah!” laung ibu sebelum sempat Amirah sampai ke biliknya.
Langkahnya dipercepatkan menuju ke bilik Ibu. Seperti yang dijangka, sebiji mangkuk tercampak di sudut bilik. Sisa-sisa bubur bertompok-tompok di atas lantai. Ibu pula sedang bergelut dengan Kak Min yang menghantuk-hantukkan kepalanya di meja. Amirah sudah terlatih untuk segera membantu ibu menenangkan Kak Min. Kak Min didakap erat-erat sambil ibu melagukan bacaan selawat yang sangat Kak Min gemari. Suara Ibu walau setenang air kolam tidak dapat menyembunyikan sebak dan sendu yang bersarang di dadanya. Mujurlah Sara masih di tadika. Jika tidak pasti dia juga turut mengongoi ketakutan hingga menjerat hati Amirah dan ibunya dalam kekalutan – tidak pasti siapa yang harus ditenangkan dahulu.
Sebetulnya, Amirah amat mengagumi ibu yang terlalu sabar menguruskan Kak Min seorang diri sejak ayah berpulang. Sebetulnya, dia amat mengasihi Kak Min, seorang anak istimewa dan tidak dapat membayangkan hidup tanpanya. Sebetulnyam dia amat bersyukur dikurniakan Sara – adik yang sentiasa menghiburkan hati mereka sekeluarga dengan kepolosannya. Sebetulnya. Namun begitu, tanggungjawab yang digalas sebagai anak harapan ibu adakalanya terlalu berat. Terlalu membebankan.
Dia tidak impikan kehidupan tanpa kebimbangan, bebas ke sana ke mari seperti camar terbang sekawan. Cukuplah andai dia tidak dapat menelaah pelajaran di rumah dengan tenang tanpa perlu terkejar-kejar menguruskan itu dan ini. Cukuplah. Kawan-kawan yang lain mungkin rasa tertekan kerana asyik disuruh belajar dan dihantar ke pelbagai kelas tuisyen. Namun, itu lah yang menjadi impiannya. Dia sendiri tidak pasti sama ada ibu sedar peperiksaan akhir tahun sudah semakin hampir.
Pernah dahulu dia menyuarakan ketidaksenangannya kepada Ibu. Seharian Ibu tidak bercakap dengannya, sedikit makanan pun tidak dijamah Ibu hari itu. Ibu hanya duduk di atas sejadah. Lama ibu bersujud dengan bahunya terhinjut-hinjut. Sejak hari itu, Amirah tidak lagi menyuarakan apa-apa tentang perasaannya.
Tubuh Kak Min yang pada mulanya kejang menjadi semakin lemah. Tangannya terkulai ke tepi sambil wajahnya memandang ibu dengan segaris senyuman kecil. Kak Min menggumam sesuatu dan seperti biasa ibu mengangguk-anggukkan kepada tanda faham apa yang cuba Kak Min sampaikan. Tangan Amirah pantas mencapai tuala kecil di atas riba Kak Min untuk mengelap air liurnya yang meleleh sedikit. Ibu masih meneruskan dengan bacaan selawatnya sambil mengusap-usap rambut Kak Min. Amirah membetulkan penyepit rambut baru Kak Min yang dibelikannya. Air mata Ibu menitis sebutir-sebutir hingga bersatu dengan air mata Kak Min. Kak Min bersuara lagi sambil tangannya menggenggam erat jari-jemari Amirah pula. Mata Kak Min pejam celik dan kemudian terus terkatup rapat.
Empangan air mata Amirah pecah juga akhirnya.