Rencana Khas

Jauh Perjalanan, Luas Pemandangan

olehNurul Insyira Muhd Razali
September 2016

Sebut sahaja perkataan “melancong” dan pelbagai gambar atau imej tempat-tempat percutian menerjah fikiran. Imej-imej ini mungkin hasil daripada percutian yang baru berlalu, atau mungkin merupakan destinasi kita yang seterusnya. Melancong ke luar negara merupakan satu aktiviti yang semakin digemari ramai. Ramai yang memilih untuk ke luar negara apabila tiba musim cuti, kerana ini merupakan masa yang paling sesuai untuk menjelajah negara-negara lain. Bagi mereka yang lebih berkemampuan, negara-negara Eropah menjadi destinasi tujuan manakala bagi mereka yang mahu mengehadkan perbelanjaan mereka, negara-negara Asia Tenggara menjadi pilihan. Para pelancong mempunyai matlamat yang berlainan apabila mereka melancong. Ada yang mahu meneroka setiap pelosok dunia, ada yang mahu membeli-belah sahaja, dan ada juga yang hanya mahu menikmati pemandangan sambil merehatkan minda mereka. Namun, sedikit sebanyak, pengalaman kita di negara orang akan meninggalkan kesan dalam kehidupan kita. Nilai-nilai dan pengajaran yang kita peroleh semasa melancong boleh digunakan dalam kehidupan seharian kita. Memang tidak dinafikan, melancong merupakan satu aktiviti yang menyeronokkan, tetapi banyak juga yang boleh kita pelajari menerusi kembara-kembara yang pernah kita lalui.

Selain meluaskan pemandangan dan pengalaman, mengembara membolehkan kita untuk mempelajari dan mendalami budaya lain. Hal ini amat penting kerana Singapura kini menjadi tempat penghijrahan bagi orang-orang asing, terutama sekali mereka yang datang dari negara-negara Asia Tenggara. Penduduk di Singapura terdiri daripada bermacam jenis kaum dan budaya, bukan sahaja daripada kaum Cina, India dan Melayu. Untuk hidup dalam harmoni, ianya penting bagi kita untuk memahami dan mempelajari budaya satu sama lain.

Ramai yang mengatakan bahawa kehadiran Internet, yang telah menjadi sebahagian daripada kehidupan manusia, membuatkan melancong lebih mudah kerana kita tidak perlu berada di sesuatu negara secara fizikal untuk kita meneroka negara tersebut. Menerusi laman web Youtube, kita boleh menonton video-video yang menunjukkan tempat-tempat lawatan yang menarik di negara tersebut. Kita juga boleh mendapatkan maklumat tentang budaya, makanan, dan tradisi negara tersebut menerusi Internet ataupun rancangan televisyen yang membawa penonton mereka menjelajah sesebuah kota atau negara. Pendek kata, segala maklumat yang ingin diketahui tentang negara tersebut, boleh didapati dalam masa beberapa saat sahaja!

Namun, dalam mendalami sesuatu budaya, kita perlu mengalaminya sendiri, bukan sekadar melungsur Internet ataupun menonton video di Youtube. Apabila kita melancong, kita dapat menyerap budaya negara tersebut menerusi pengalaman kita di sana. Selalunya, tempat-tempat yang dikunjungi semasa melancong merupakan tempat-tempat bersejarah, seperti muzium, tugu, dan sebagainya. Kunjungan ke tempat-tempat sebegini membuatkan kita lebih arif tentang sejarah negara tersebut dan ini meningkatkan pemahaman kita tentang kelahiran budaya negara tersebut.

Interaksi dengan penduduk tempatan juga dapat membantu kita dalam mendalami sesuatu budaya. Sebelum menjelajah negara tersebut, kita harus membuat kajian tentang negara tersebut. Selain mendapatkan maklumat tentang tempat-tempat menarik, kita juga patut mengenal pasti dan menyesuaikan diri dengan bahasa yang digunakan oleh penduduk tempatan. Dengan cara ini, kita dapat mengelakkan persilisihan faham yang mungkin akan berlaku apabila kita berinteraksi dengan mereka. Pada awalnya, kita mungkin tidak dapat bertutur dengan lancar tetapi lama kelamaan, kita mula mengikuti cara pertuturan mereka dan sedikit sebanyak dapat memahami apa yang ingin disampaikan mereka dalam bahasa mereka. Mempelajari bahasa asing bukan hanya dapat membantu kita berinteraksi dengan penduduk-penduduk, malah, kita dapat meningkatkan pemahaman kita terhadap budaya tersebut kerana bahasa merupakan salah satu aspek budaya. Bukan itu sahaja, melawati beberapa negara membuatkan kita mahir dalam beberapa bahasa, bukan sahaja dalam Bahasa Inggeris dan bahasa ibunda kita. Kemahiran ini amat berguna di masa hadapan, apabila kita melanjutkan pelajaran di luar negara atau bekerja di syarikat antarabangsa.

Melancong juga dapat memupuk rasa cinta dan penghargaan terhadap ciptaan Tuhan. Kehidupan di kota Singapura bermakna dikerumuni oleh bangunan-bangunan tinggi. Acap kali, kita berasa lemas dan bosan kerana pemandangan yang menyapa mata kita setiap hari hanyalah batu-bata dan orang ramai yang berpusu-pusu. Oleh sebab itulah, apabila tiba musim cuti, ramai yang keluar dari kota ini untuk merehatkan minda sambil menikmati keindahan alam semesta. Ada yang memilih rumah peranginan yang bersebelahan dengan pantai-pantai yang menakjubkan dan ada juga yang memilih gunung-ganang untuk ditakluki, sebagai destinasi percutian mereka. Ini merupakan cara mereka untuk melarikan diri daripada kesibukan kota, di samping menikmati keindahan alam.

Selain penghargaan terhadap flora dan fauna, melancong ke tempat-tempat sebegini mengajar kita beberapa perkara. Salah satu pengajaran yang dapat kita timba adalah tanggungjawab kita untuk memulihara alam sekitar. Tempat-tempat sebegini mempunyai undang-undang di mana para pengunjung dilarang untuk membuang sampah merata-rata. Mereka memastikan bahawa pengunjung mereka mematuhi undang-undang tersebut dan bertanggungjawab di atas sampah mereka. Bagi mereka yang pernah menakluki Gunung Ledang atau Mount Ophir, anda pasti tahu bahawa setiap pendaki perlu mengisi borang dan menyatakan jumlah setiap barang di dalam beg mereka. Ini termasuk makanan di dalam paket atau tin, gula-gula getah, tisu, beg plastik dan pakaian dalam! Selesai sahaja pendakian, di kaki gunung, seorang pegawai akan memeriksa setiap isi kandungan beg pendaki untuk memastikan bahawa para pendaki tidak meninggalkan sebarang sampah, di persekitaran gunung itu. Jika jumlah barang yang dibawa turun lebih kurang daripada jumlah barang yang dibawa naik, pendaki boleh dikenakan denda dalam bentuk bayaran. Dengan cara ini, para pendaki akan cuba sedaya upaya untuk menjaga alam sekitar supaya keindahan ini tidak dicemar dan dapat dinikmati oleh khalayak ramai.

Melancong ke tempat-tempat sebegini membuatkan kita lebih peka kepada persekitaran kita. Pemandangan yang dapat kita nikmati apabila mengembara ke tempat sebegini wujud kerana segelintir manusia berusaha untuk memulihara tempat-tempat ini, agar dapat dinikmati oleh manusia sekalian. Melancong bukan sahaja meluaskan pemandangan kita, tetapi ia turut memupuk nilai-nilai positif dalam diri kita, nilai-nilai yang mungkin tidak dapat diperoleh jika kita tidak mengembara.

Pemandangan yang luas bukan sahaja terhad kepada pemandangan alam semesta, tetapi ia termasuk situasi yang kita lihat atau alami apabila kita melancong ke sesuatu tempat. Melancong membuka mata kita kepada situasi yang mungkin tidak pernah kita alami apabila berada di negara sendiri. Sebagai contoh, bandar Kuala Lumpur dan Jakarta dipenuhi dengan peminta sedekah dan orang-orang yang merempat di tepi jalan. Ini berlainan sekali dengan keadaan di Singapura kerana kita jarang melihat peminta sedekah di Orchard atau Bugis, jauh sekali mereka yang merempat di tepi jalan. Biarpun Kuala Lumpur dan Jakarta merupakan ibukota ternama, ada juga sekumpulan manusia yang hidup dalam keadaan daif dan tanpa hala tujuan. Ini menyedarkan kita tentang kehidupan kita yang jauh lebih beruntung jika dibandingkan dengan kehidupan mereka. Kita tidak perlu melangkah jauh ke ceruk kampung untuk melihat kemiskinan, kerana kemiskinan wujud di kota-kota seperti Kuala Lumpur dan Jakarta. Situasi sebegini meluaskan lagi pemikiran kita kerana ia memaklumkan kita tentang isu-isu yang berlaku di luar pengetahuan kita dan ia juga mengubah cara pemikiran kita.

Banyak lagi nilai-nilai yang boleh kita peroleh melalui pengembaraan kita di serata dunia. Namun, apa yang penting ialah kita harus mempunyai fikiran yang terbuka dan harus berani dalam mencuba sesuatu yang baru. Kita akan menghadapi berbagai-bagai cabaran apabila mengembara, namun cabaran-cabaran inilah yang bakal mengajar kita erti kehidupan. Dunia yang luas ini patut dijelajahi selagi kita masih bertenaga dan berkemampuan, supaya minda dan pemikiran kita sentiasa berkembang dengan pengalaman dan ilmu.

 

Share icon-linkedin icon-facebook icon-twitter icon-wa

Media Sosial – Menguasai, Mengemudi atau Memperkasa?