Wawancara Khas

Bersama Penggiat Seni Teater Tempatan: Encik Hafiz Bin Yusof

olehNur Ashikin Hazlan
April 2016

Encik Hafiz Bin Yusof, seorang penggiat seni teater daripada kumpulan teater Celik, merupakan seorang individu yang aktif dalam arena teater Melayu di Singapura. Selain berbakat dalam bidang lakonan, anak seni muda ini juga telah banyak melibatkan diri dalam aspek-aspek seni yang lain seperti koreografi pergerakan silat, nyanyian dan bermain alat-alat muzik. Bukan itu sahaja, beliau juga turut bergiat sebagai jurulatih drama di sekolah-sekolah yang salah satunya merupakan Maktab Rendah Pioneer. Pendek kata, Encik Hafiz merupakan penggiat seni yang serba boleh! Mari kita selami dengan lebih lanjut penglibatannya dalam dunia seni teater!

 

Apakah yang telah membuat anda berminat untuk melibatkan diri dalam seni teater Melayu?

Secara jujur, penglibatan saya dalam dunia teater Melayu memang berlaku secara kebetulan semata-mata. Pada mulanya, saya menyertai aktiviti ko-kurikular bola sepak. Malangnya, saya mengalami kecederaan. Justeru saya mengambil keputusan untuk menyertai Persatuan Budaya Melayu (MCS) atas saranan guru Melayu saya ketika itu. Persatuan itulah yang menjadi motivasi saya untuk menghadiri sekolah dalam tahun pertama saya di Institusi Millenia. Persembahan pertama saya, Awang Belanga, telah memberi saya motivasi untuk terus bergiat dalam dunia lakonan ini.

Ramai yang berpendapat bahawa seni teater ini hanya melibatkan lakonan dan ia tidak mencabar. Apakah sebenarnya yang berlaku di sebalik tabir?

Banyak persiapan dan latihan yang harus dilakukan untuk memastikan sebuah pementasan teater itu berjaya. Seorang pelakon harus melakukan kajian sendiri agar berupaya mendalami dan menghayati wataknya. Tambahan pula, persembahan teater dijalankan secara langsung. Sekiranya terdapat kesulitan atau masalah seperti terlupa dialog atau tercedera, pelakon harus bijak melakukan perubahan atau penyesuaian yang sewajarnya dengan serta merta.

Bagi aspek yang berlaku di sebalik tabir, banyak persiapan yang dilakukan sebelum, semasa, dan sesudah pementasan itu dijalankan. Berikut adalah sebuah contoh: audio yang disertakan harus masuk tepat pada masa. Tahap kekuatan lagu itu juga harus disesuai supaya tidak mengganggu fokus pelakon dan tidak menenggelamkan suara pelakon sendiri.

Baru-baru ini anda telah berlakon dalam pementasan teater bangsawan, Raden Mas. Apakah pendapat anda tentang seni teater bangsawan dan perasaan anda sepanjang proses penglibatan anda?

Bangsawan ini merupakan sebuah genre teater yang mencabar. Cabarannya terutama sekali dirasai oleh para penggiat seni bangsawan yang muda. Hal ini kerana kami tidak mempunyai pengalaman tentang kehidupan zaman dahulu. Tambahan pula seni bangsawan ini mencabar kerana ia memerlukan pelakon yang serba boleh ataupun holistik – dari segi lakonan, pergerakan, dan juga nyanyian.

Raden Mas merupakan pengalaman yang cukup bermakna bagi saya. Sejujurnya, pengalaman saya menjalani latihan bersama rakan-rakan seperjuangan itu jauh lebih bermakna jika dibandingkan dengan persembahan itu sendiri. Saya berani menyatakan sedemikian kerana latihan itulah yang telah membuka mata saya kepada individu-individu yang sungguh berbakat. Persembahan Raden Mas ini telah menganugerahkan saya dengan teman-teman baru, dari negara sendiri mahupun dari seberang tambak.

Sepanjang penglibatan anda dalam dunia seni teater ini, apakah perkara yang paling mengghairahkan dan membanggakan bagi anda? Bilakah ini berlaku?

Perkara yang pertama adalah apabila saya dapat mencabar diri sendiri dalam setiap pementasan yang berbeza. Dahulu saya sekadar pelakon sahaja, kini saya boleh melakukan pergerakan silat dan tarian, menyanyi, menulis skrip, mengarah, dan juga mereka lampu. Saya mampu melakukan beberapa perkara yang dahulunya saya tidak yakin saya dapat lakukan.

Perkara yang kedua, adalah apabila anak didik saya dalam bidang drama turut berlakon atau melibatkan diri dalam pementasan yang sama dengan saya. Ia menjadi satu pencapaian apabila bakat mereka akhirnya diketahui ramai. Lebih membanggakan lagi adalah apabila seni teater telah mendapat tempat di hati mereka sehingga mereka mengambil keputusan untuk mendalami seni teater di institusi-institusi tertentu.

Apakah harapan anda untuk dunia seni teater Melayu di Singapura hari ini?

Teater Melayu di Singapura ini rencam sekali kerana terdapat golongan veteran yang masih giat aktif dalam dunia teater serta golongan muda yang ingin menyuntikkan elemen pembaharuan dalam seni teater. Banyak idea-idea menarik yang hendak disumbangkan dan diutarakan. Ini menunjukkan bahawa teater Melayu mempunyai ciri-ciri unik yang boleh memartabatkan kita di persada dunia.

Berbalik kepada soalan yang diajukan, saya berasa bahawa ada harapan bagi seni teater di Singapura. Harapan ini boleh menjadi kenyataan sekiranya setiap individu dalam dunia seni teater ini melibatkan diri dengan ikhlas, bukan hanya dengan sekadar berkata-kata. Selain itu, mereka juga harus mampu berganding bahu untuk menjayakan seni teater ini. Kalau tidak, dunia teater Melayu akan terus kekal sebagai satu entiti kecil yang kurang nilainya.

Share icon-linkedin icon-facebook icon-twitter icon-wa

Penulis BLINK: Cik Nur Khairiah

Genggam bara api biar sampai jadi arang