Sains & Teknologi

4 Rekaan Teknologi Bijak Yang Mesra Alam

olehNurul Haziqah Hassan
July 2016

Dewasa ini, ramai yang memperjuangkan teknologi yang mesra alam. Hal ini demikian kerana sumber semula jadi semakin berkurangan. Oleh itu, para aktivis alam sekitar giat mereka inovasi teknologi baharu yang dapat mengitar semula bahan buangan, lebih-lebih lagi bahan buangan yang tidak biorosot. Dengan itu, dalam edisi ini, kita akan mengenali empat rekaan teknologi bijak yang mesra alam.

#1: Epson PaperLab: Mesin Mengitar Semula Kertas

Untuk maklumat lanjut, sila lungsuri:
www.facebook.com/ScienceNaturePage

Mesin ini bertujuan untuk menggantikan mesin pencincang kertas yang konvensional. Cara menggunanya mudah sahaja. Pertama, masukkan kertas yang ingin dikitar semula ke dalam mesin ini. Kedua, pilih tetapan yang diingini (ketebalan kertas, warna, dan sebagainya). Ketiga, tekan butang “Start” dan proses mengitar semula akan bermula. Dalam masa hanya 3 minit, kertas baharu akan dapat dihasilkan.

Mesin ini dapat membantu syarikat-syarikat besar atau sekolah-sekolah untuk meringkaskan dan mempercepatkan proses mengitar semula kertas-kertas terpakai. Ia juga menjimatkan kos pengangkutan dan penghantaran kertas-kertas baru. Dengan cara ini, syarikat-syarikat dan sekolah-sekolah lebih terdorong oleh insentif untuk mengitar semula. Dalam jangka masa yang panjang, penghasilan kertas baru dapat dikurangkan dan hutan-hutan kita dapat dipelihara.

#2: Projek Precious Plastic: Mesin Mengitar Semula Plastik

Untuk maklumat lanjut, sila lungsuri:
www.preciousplastic.com

Dave Hakkens, seorang pereka berumur 27 tahun, ingin merevolusikan pengitaran semula bahan-bahan terpakai. Beliau memulakan projek yang dinamakan Precious Plastic. Projek ini diharapkan dapat meningkatkan kadar pengitaran semula plastik-plastik terpakai. Hakkens telah mereka beberapa mesin yang dapat mengitar semula plastik-plastik terpakai untuk menjadikan bahan plastik baharu. Antara barangan baharu yang dapat dihasilkan ialah gasing, jam dinding dan tudung lampu buatan sendiri.

Mesin-mesin rekaannya amat bermanfaat kerana pada masa kini, kurang daripada 10% plastik dikitar semula. Jika tidak dikitar semula, bahan buangan ini akan dihumban ke tapak pelupusan. Oleh itu, mesin-mesin rekaannya dapat membantu meningkatkan kadar pengitaran semula plastik. Orang awam boleh juga membeli produk-produk kitar semulanya. Bukan itu sahaja, di lelaman YouTube Precious Plastic, Hakkens mengajar para penonton bagaimana untuk membina mesin-mesin kitar semula ini. Menurutnya, mesin-mesin ini hanya memerlukan bahan-bahan asas, mempunyai kos yang rendah dan juga mudah dibina. Dengan cara ini, seluruh warga dunia dapat memanfaatkan teknologi yang amat canggih ini tidak kira di mana mereka berada. Sama-samalah kita dapat selamatkan dunia!

#3: Usahawan Indonesia Menterbalikkan Proses Pembuatan Plastik

Untuk maklumat lanjut, sila lungsuri:
http://www.businessinsider.sg/indonesian-entrepreneur-turns-trash-into-fuel-2016-3/?r=US&IR=T#.V0RvqWOfTBI

Jakarta mempunyai populasi sebanyak 10 juta penduduk. Setiap hari, sebuah tapak pelupusan menerima sekitar 6000 ton sampah.

Oleh sebab ini, seorang usahawan, Encik Hamidi berniat untuk mengurangkan masalah ini. Menggunakan kepakarannya, Encik Hamidi telah mereka mesin yang boleh menterbalikkan proses pembuatan plastik. Plastik berasal daripada minyak mentah. Mesin yang direkanya, dapat menterbalikkan proses ini, justeru menjadikan plastik-plastik terbuang sebagai sumber menjana tenaga yang boleh menyokong petroleum atau tenaga fosil. Dalam sehari, Encik Hamidi dapat mengitar semula 55 paun plastik. Walaupun eksperimennya ini baru di tahap permulaan dan belum berupaya menjana tenaga yang banyak, ia cukup untuk membekalkan tenaga untuk motosikalnya.

Tenaga fosil dan petroleum merupakan sumber asas yang terhad dan semakin berkurangan. Dengan teknologi ini, kita akan dapat menjana lebih tenaga untuk penggunaan pada masa hadapan. Walaupun teknologi ini hanya dapat memanfaatkan Encik Hamidi pada masa kini, diharapkan bahawa teknologi ini dapat dikembangkan supaya dapat dimanfaatkan oleh seluruh dunia kerana tenaga fosil merupakan keperluan asas untuk proses-proses penting dalam hidup kita.

#4: Cendawan Yang Memakan Plastik!

Untuk maklumat lanjut, sila lungsuri:
http://go.collective-evolution.com/stay-aware/

Cendawan ini tumbuh di dalam sebuah makmal kecil. Ia merupakan sebahagian daripada sistem mutarian kulat. Mula-mula, lampu UV digunakan untuk menguraikan plastik Kemudian, plastik ini dimasukkan ke dalam corong-corong kecil yang diperbuat daripada agar-agar. Selepas itu, cendawan itu ditambahkan ke dalam corong-corong tersebut. Beberapa minggu berikutnya, cendawan akan memakan plastik tersebut.

Cendawan ini tidak toksik dan boleh dimakan. Plastik yang dahulunya tidak biorosot, sekarang sudah boleh dibiorosotkan setelah dimakan oleh cendawan tersebut. Penemuan ini mungkin boleh menyelesaikan masalah pembuangan plastik yang melampau di atas muka bumi ini. Seperti diketahui ramai, plastik merupakan suatu bahan yang tidak biorosot. Hanya 10% pembuangan plastik sahaja yang dapat dikitar semula. Penemuan tentang cendawan ini membantu membuat plastik menjadi biorosot (setelah dimakan oleh cendawan istimewa itu). Oleh itu, penemuan ini mungkin boleh membantu dalam mengatasi masalah pembuangan plastik. Namun begitu, cara yang lebih berkesan harus diselidiki kerana membubuh cendawan ke atas semua bahan plastik merupakan proses yang rumit dan kurang produktif.

Sungguh menarik bukan, rekaan-rekaan yang tertera di atas? Walaubagaimanapun, pencegahan lebih baik daripada . Justeru itu, lebih elok jika kita menggunakan bahan-bahan mesra alam atau bahan-bahan yang mudah dikitar semula supaya kita tidak akan berhadapan dengan masalah yang berterusan seperti ini. Para pelajar yang arif lagi bijaksana, adakah kamu dapat memikirkan rekaan-rekaan yang menarik yang dapat membantu menyelamatkan bumi kita? Ayuh kita fikirkan!

Share icon-linkedin icon-facebook icon-twitter icon-wa

Kenali bumi: 5 Landskap Ajaib di Dunia

Ciri-Ciri Adaptasi Dalam Haiwan: Cara-Cara Haiwan Melindungi Diri Daripada Musuh Dan Persekitaran